"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masalah perumahan kaum India dikaji - TGNA

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 26 Mei:
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masalah perumahan kaum India akan dibincangkan melalui jawatankuasa tertentu yang akan diselesaikan secara baik.

Menyentuh masalah kuota pemilikan kekal perumahan oleh kaum itu, beliau berkata ia hendaklah mengikut saluran tertentu dan pihak berkenaan boleh menghubungi Exco yang bertanggungjawab untuk diperhalusi.

Beliau menyatakan demikian pada perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India Kelantan yang mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya, hari ini.

Ketua NGO itu, Vijaykumar a/l Perumal ketika ditemui berkata, langkah kerajaan begitu prihatin yang melibatkan kaum minoriti itu amat dihargai.

“Saya amat berterima kasih kepada Tuan Guru yang sudi mendengar secara telus pelbagai masalah yang kami luahkan dan boleh dikatakan pada setiap perjumpaan yang diadakan, Tuan Guru sentiasa tersenyum dan membawa masalah ini ke peringkat mesyuarat kerajaan negeri,” ujar beliau.

Sehingga kini, katanya banyak perkara yang dapat diselesaikan dan pada hari ini mereka mengajukan masalah perumahan dan peluang pekerjaan dengan kerajaan negeri.

Katnya, pihaknya juga ada membangkitkan isu pemilikan rumah kekal seperti mana kuota pemilikan rumah yang diberikan kepada bukan bumiputera sebanyak 30 peratus.

“Kami inginkan sekiranya ada peruntukan itu, kuota tersebut hendaklah dibahagikan pula pecahan mengikut kaum lain, contohnya dalam 30 peratus tersebut, kaum India hendaklah mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peratus,” katanya lagi.

Tiada ulasan: