"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raja-Raja Perlu Peka Terhadap Isu-isu Melibatkan Melayu dan Agama

Mohd Sayuti Omar

PENGHARAPAN dan pergantungan orang Melayu dan umat Islam negara ini kepada Raja-Raja Melayu begitu besar sekali. Raja-Raja menjadi tempat mengadu dan meminta sesuatu. Institusi raja telah menjadi ibu dan ayah kepada orang Melayu dan mereka beragama Islam.

Semua ini kerana kegahan dan kuasa yang diberikan kepada institusi itu dalam konteks sejarah dan perlembagaan negara ini cukup tinggi sekali. Terutamanya mengenai hal ehwal dan adat resam orang Melayu dan juga berhubung kedudukan agama Islam. Raja-Raja adalah menjadi tonggak dan kepala kepada agama Islam di negara ini.

Jadi tidak hairanlah bila orang Melayu menghadapi apa-apa masalah mereka mengadu atau menyampaikan kepada Raja-Raja mereka dengan harapan Raja-Raja memberi pandangan, buah fikiran atau memutuskan atas kebaikan bersama. Bila timbul saja isu-isu yang sukar untuk diselesaikan dan memerlukan pandangan Raja-Raja maka orang Melayu dan orang Islam akan berarak ke istana, ataupun membuat himpunan simbolik bagi menyatakan perasaan mereka terhadap sesuatu itu kepada raja-raja.

Apa yang mereka harapkan raja akan menggunakan kuasa mutlak dan kebijaksanaan mereka menyelesaikan sesuatu yang timbul itu. Iya, kalau bukan kepada Raja-Raja yang dianggap sebagai payung dan pelindung mereka, siapa lagi. Orang politik tidak boleh dipercayai kerana sikap dan pendirian mereka yang rencam begitu.

Terbaru ialah mengenai isu kelulusan lesen judi bola sepak yang diberikan oleh kerajaan UBN kepada syarikat Berjaya Gorup yang dikenali sebagai syarikat yang mengendali beberapa aktiviti perjudian terbesar negara ini. Kelulusan itu yang mulanya diumumkan oleh Awang Adek Hussein mendapat tentangan hangat oleh umat Islam.

Berbagai badan NGO, pertubuhan Islam dan parti politik termasuk Pas dan pemimpin tertentu dari Umno telah menyuarakan kebimbangan mereka ekoran kelulusan lesen perjudian itu. Semuanya menyifatkan kelulusan itu tidak patut.

Tetapi malangnya sehingga kini kerajaan masih bersikap tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Kerana bimbang kerajaan akan meneruskan juga kelulusan itu Pas telah mengambil inisiatif memaklumkan kebimbangan mereka kepada raja-raja Melayu. Semalam Pas telah menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Kita berharap bantahan Pas itu akan diperhati dan diteliti oleh Yang Dipertuan Agung dan Raja-Raja Melayu. Sudah tentu bagi Pas kelulusan lesen judi itu akan menambahkan lagi maksiat dan dosa ke atas negara ini. Dosa itu juga akan terpikul ke atas batu jemalan Raja-Raja Melayu juga kerana baginda adalah kepala agama yang wajib bertanggungjawab menghalangnya.

Mungkin Pas menyedari dengan pelbagai bentuk lesen judi yang diluluskan sebelum ini telah menimbulkan gejala sosial kepada rakyat negara ini. Menghairankan macam mana menteri beragama Islam seperti Awang Adek bersetuju dengan kelulusan itu. Dalam orang riuh randah mempertikaikannya Awang Adek terus menikus seolah cuba melepas tangan atas apa yang beliau mulakan.

Seperti dikatakan tadi kenapa memorandum itu diserahkan kepada raja-raja, kerana kedudukan mereka itu begitu tinggi dan dikira dapat memberi kata pemutus mengenai hal ini. Bagi Pas mungkin mereka merasakan gerakan yang dilakukan dengan pelbagai cara termasuk mengadakan demonstrasi di masjid-masjid tidak akan memberi bekas sehingga akhirnya mereka terpaksa memanjat tangga istana negara.

Satu perkara dalam hal ini apa yang menjadi pertanyaan saya ialah kenapakah hal-hal berkaitan seperti judi, maksiat isu-isu sensitif mengenai agama dan sebagainya yang boleh menjejaskan negara, Yang Dipertuan Agung dan Raja-Raja akan bercakap setelah ada laporan dan desakan dari mana-mana pihak. Atau pun suara Raja-Raja terdengar di hujung waktu. Dalam isu-isu sebgini saya perhatikan Raja-raja Melayu lewat dalam bersuara atau memberi kata dua wahal mereka sepatutnya bersuara lebih awal memandangkan kekeramatan suara mereka.

Sepatutnya Raja-Raja Melayu tidak payah menunggu desakan dari mana entiti tetapi bagida harus terus bersuara sekiranya baginda merasakan sesuatu isu atau kegiatan bercanggahan dengan adat Melayu dan menyalahi hukum Allah s.w.t. Saya percaya Raja-Raja Melayu ada panasihat dalam semua bidang yang perlu peka kepada masalah sekeliling. Walaupun kita telah menerima konsep raja berpelembagaan, tetapi tidak salah dalam soal kepentingan berhubung bangsa dan agama kalau Raja-Raja mendahului daripada lain-lain pihak demi melindungi agama dan hak orang Melayu

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: