"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li Tolak Pencalonan Galas?

 KUALA LUMPUR, 11 OKT: Pemimpin PAS yakin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)tidak akan menerima tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menamakannya sebagai calon Barisan Nasional(BN) di pilihan raya kecil Galas.

Keyakinan itu disuarakan oleh pemimpin-pemimpin PAS disebalik desas-desus yang tersebar bahawa Ku Li bersetuju dengan tawaran tersebut.

Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Abdullah dilaporkan berkata pada media bahawa khabar angin Ku Li bersetuju untuk menerajui kempen pilihan raya kecil tersebut sebagai calon Umno adalah tidak benar dan sebaliknya menolak tawaran tersebut walaupun beliau akan menemui Najib di Parlimen hari ini.

Dakwaan Wan Abdul Rahim juga mungkin ada kebenarannya berikutan tindakan Najib melengahkan pengumuman penamaan calon bagi pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Walaupun sebelum ini, Najib memberitahu media bahawa Ku Li akan mengetuai jentera BN bagi memastikan kemenangan, namun penganalisis juga berpendapat, jika Ku Li bersetuju menjadi calon sudah pastinya Najib akan mengumumkan pencalonan beliau sekaligus memberikan kemenangan psikologi kepada BN di bawah Umno.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan pada 4 November ini berikutan kematian Adun PAS, Che Hashim Sulaima bulan lalu.

PAS memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 646 undi setelah memperolehi 4,399 undi menngalahkan calon Umno yang mendapat 3,753 undi pada Pilihan raya Umum ke-12 Mac 2008 lalu.

Menurut daftar pengundi terbaru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) terdapat 10,330 pengundi berdaftar di kawasan tersebut. Majoriti pengundi adalah kaum Melayu iaitu 65.4 peratus, Cina 22.3 peratus, Orang Asli 10.5 peratus manakala India 1.8 peratus.(Berita lanjut akan menyusul)

Tiada ulasan: