DI SINI...tempat mayat dikerat ditemui.
KUALA LUMPUR: Kejam apabila mayat seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) ditemui dengan kedua-dua kaki dan tangannya dikerat sebelum dibuang berasingan oleh pembunuhnya berhampiran sebuah tokong di Kilometer 2.3, Genting Highlands, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, pembunuh remaja itu dipercayai cuba menghapuskan bukti dengan menyumbat anggota badan dan kepala mangsa dalam dua beg pakaian sebelum dibuang di lokasi berasingan ke dalam gaung.
Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila dua pemburu haiwan eksotik yang mencari cicak menemui sebuah beg kecil dan terkejut apabila ternampak kaki terjuntai keluar dari beg berkenaan.
Pemburu berkenaan menghubungi polis selepas terkejut dengan penemuan anggota badan manusia itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abd Rahman, berkata polis ke tempat kejadian dan menemui sebuah beg kecil berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa.
Selepas beberapa jam pencarian berhampiran kawasan gaung itu, polis menemui sebuah beg pakaian besar berisi mayat manusia.
Sebaik beg dibuka, polis menemui kepala dan badan mangsa yang dipercayai dibunuh tidak lebih dari 24 jam itu.
“Kami percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam gaung itu, malah badan mangsa dalam beg itu masih lengkap berpakaian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Rosli berkata, pihaknya percaya remaja berkenaan OKU berdasarkan saiz kepalanya yang besar daripada badan serta tangan kanan agak kecil.
“Mangsa mempunyai tubuh badan yang agak gempal selain rambut kerinting. Usaha kini dijalankan untuk mencari tangan kiri dan kaki kanan mangsa,” katanya.
Menurutnya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa remaja perempuan.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa dirogol atau didera dengan kejam sebelum dibunuh.
“Anggota bahagian yang ditemui itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.
Rosli meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga menghubungi Asisten Superintendan Yusof Unis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222.
Tinjauan Harian Metro ke lokasi kejadian mendapati gaung itu curam dan kawasan itu dijadikan tempat berehat sebelum sampai ke puncak Genting Highlands.
Kes penemuan mayat dikerat
# 10 Ogos 2007: Mayat seorang ahli perniagaan Singapura ditemui pemilik sebuah kondominium di Mont Kiara dalam keadaan dikerat 11 selepas terhidu bau busuk dari peti sejuk ketika mengemas rumah yang dikosongkan penyewa. Mayat mangsa dibungkus menggunakan beg plastik hitam serta disumbat dalam peti sejuk yang dilekat dengan pita pelekat.
# 30 September 1997: Seorang lelaki menemui mayat yang dikerat empat diasing dengan anggota badan dalam satu bungkusan plastik, manakala kaki, tangan dan kepala pada bungkusan lain yang disimpan dalam beg pakaian di perdu pokok di Batu 6, Jalan Ipoh.
# 26 Julai 1997: Mayat wanita warga emas ditemui dalam enam beg plastik berasingan dikerat secara melintang sebanyak lima kali menjadi lapan bahagian dibuang dalam semak di Batu 6, Kampung Lubuk Jong, berhampiran Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang. Mayat ditemui seorang lelaki pemotong rumput.
# 3 Julai 1996: Mayat gadis berusia antara 14 dan 19 tahun yang tidak berkepala, tangan dan kaki yang diisi dalam beg plastik ditemui dalam longkang sebuah pasar raya di Taman Ipoh Selatan oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh.
# 22 Julai 1993: Misteri kehilangan Adun Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris, terjawab apabila mayatnya ditemui dipotong 18 bahagian dan ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter dan permukaannya disimen di kawasan kebun rumahnya di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, kira-kira 45 kilometer dari Raub.
# 8 Julai 1993: Penari dan penyanyi, Lily Chua dipotong menjadi 11 bahagian dan dimasukkan dalam sebuah beg beli-belah sebelum dicampak ke dalam parit di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan