"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Necmettin Erbakan mentor pemimpin gerakan Islam

Harakahdaily 
KUALA LUMPUR, 28 Feb: PAS mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan ahli serta kepimpinan Saadat Partisi di atas kepulangan Almarhum Dr Necmettin Erbakan ke rahmatullah semalam.



"Sesungguhnya Allah SWT telah memanggil Almarhum pulang ke tempat asal yang dijanjikan oleh-Nya, walaupun kehilangannya akan dirasai oleh seluruh penyokong dan pendokong gerakan Islam di serata pelusuk dunia," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.


(GAMBAR FAIL: Erbakan (kanan sekali) dalam satu majlis makan bersama para tetamu satu perhimpunan. Turut serta adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, no 3 dari kanan).

Katanya, Necmettin adalah seorang mujahid, ahli akademik, ilmua ulung dalam bidang teknologi, jurutera, mantan perdana menteri, pemimpin parti, bapa dan mentor kepada ramai pimpinan gerakan Islam di dunia ini, termasuklah pimpinan PAS sendiri.


Berikut adalah kenyataan penuh beliau.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan ahli serta kepimpinan Saadat Partisi di atas kepulangan Almarhum Dr Necmettin Erbakan (gambar) ke rahmatullah pada hari ini 27 Februari 2011 bersamaan dengan 24 Rabiul Awal 1432 Hijriah.


Sesungguhnya Allah SWT telah memanggil Almarhum pulang ke tempat asal yang dijanjikan oleh Nya, walaupun kehilangannya akan dirasai oleh seluruh penyokong dan pendokong gerakan Islam di serata pelusuk dunia. Beliau adalah seorang mujahid, ahli akademik, ilmua ulung dalam bidang teknologi, jurutera, mantan perdana menteri, pemimpin parti, bapa dan mentor kepada ramai pimpinan gerakan Islam di dunia ini, termasuklah pimpinan PAS sendiri.


Kepimpinan beliau terserlah, di saat dunia Islam berdepan dengan pelbagai kemelut sejak puluhan tahun ini, termasuklah pergolakan di Asia Barat dalam isu Perang Teluk, Afghanistan, dan gerakan pembaharuan dalam dunia Islam yang dilaksanakan oleh beliau sepanjang tempoh singkat Almarhum menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga 1997.


Tentunya kehilangan beliau dari persada politik antarabangsa akan dirasai, terutamanya kepada PAS yang sentiasa menjadi tetamu Almarhum dalam pelbagai seminar dan diskusi ekonomi dan dunia Islam yang dianjurkan oleh Almarhum setiap tahun.


Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan ruh Almarhum di kalangan para nabi, siddiqin, syuhada dan sholihin.


AL FAATIHAH.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,


Presiden PAS


24 Rabiul Awal 1432H / 27 Februari 2011M

Tiada ulasan: