"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kembalikan jawatan Judin

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 Jun: Pakatan Rakyat hari ini mahu kerajaan mengembalikan semula jawatan Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ianya kerana difahamkan Judin yang bergred Turus 3, menolak tawaran pertukaran jawatan sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Perkara itu turut disahkan dalam laporan Berita Harian hari ini yang bertajuk 'Bekas Ketua Pengarah JKR enggan berundur'.

"Kita minta kembalikan Judin kepada kedudukan dia sebagai Ketua Pengarah JKR," kata Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) dan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah).

Akhir April lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Datuk Seri Dr. Judin ditukar jawatan daripada Ketua Pengarah JKR kepada Ketua Eksekutif CIDB berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Tempatnya itu diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.

Bagaimanapun pertukaran itu ditolak Judin dan beliau masih memasuki pejabat sebagai ketua pengarah JKR seperti biasa sehingga kini.

Keadaan itu sekaligus menjadikan wujud dua ketua pengarah di jabatan itu.

Kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam memberitahu perlantikan itu dibuat atas faktor kepakaran Judin bagi kepentingan CIDB.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, sesuatu yang sukar diterima apabila kepakaran Judin yang bergred Turus 3 mahu ditempatkan sebagai ketua agensi yang hanya memerlukan tahap kepakaran bergred Jusa C.

"CIDB ini agensi dibawah JKR. Takkan lah orang yang pakar pergi duduk di bawah agensi, dan yang tak pakar pantau yang pakar.

"Bagaimana timbalan nak pantau kerja bekas ketua pengarah dia. Ini saya kata ada sesuatu yang tak kena," katanya.

Bagi menjaga maruah Datuk Mohd. Noor Yaacob pula, kerajaan khususnya KSN katanya perlu bertanggungjawab melantik beliau sebagai ketua pengarah mana-mana jabatan dalam kementerian itu.

Jurucakap orang politik

Johari pula yang kesal dengan apa yang berlaku itu mahu KSN bertindak secara profesional dan bebas dalam menjaga dasar perkhidmatan awam.

Beliau berkata, KSN tidak boleh sama sekali bertindak demi kepentingan politik pihak tertentu.

"KSN kena bertindak sebagai orang yang mempertahan polisi pegawai perkhidmatan awam, bukan menjadi jurucakap kepada orang politik.

"Sejak perkhidmatan dia dilanjutkan ini nampak tindakan dia ni pelik betul," tegasnya.

Pendapat itu turut disokong Kamarudin yang turut mendesak agar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjaga integriti institusi itu.

"Suruhanjaya ini dilantik oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, untuk menjaga institusi-institusi negara.

"Kita mendesak SPA menjaga mempertahan integriti perkhidmatan awam, tidak dijadikan alat politik mana-mana pihak," tegasnya.

Tiada ulasan: