"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enggan Rujuk Semula, Janda Muda Ditikam Guna Gunting

KOTA BHARU, 21 JUN: Hanya kerana enggan rujuk semula, seorang wanita cedera parah apabila diserang dengan gunting sehingga cedera di kepala, leher dan muka oleh bekas suaminya dalam pergaduhan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya.

Pelatih salun kecantikan Hazita Mohamad, 28, berasal dari Tumpat itu berkunjung ke pasar raya untuk membeli barang keperluan salun sebelum diserang bekas suaminya.

Kejadian malang yang menimpa wanita malang itu berlaku kira-kira pukul 4 petang apabila Hazita enggan menuruti permintaan bekas suaminya yang berusia 29 tahun supaya kembali semula kepadanya.

Difahamkan keengganan merujuk kembali menjadi punca kejadian tersebut.

Ekoran kejadian itu, Hazita dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Baru, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum itu, bekas suami mangsa dikatakan telah mengekori kereta yang dipandu wanita tersebut hingga ke pasar raya berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di tempat letak kereta, suspek telah menerpa masuk ke dalam kereta mangsa lalu berlaku pergelutan.

“Mangsa telah dikelar di muka dan ditikam di kiri dan kanan leher serta belakang kepala dengan gunting.

“Suspek kemudian melarikan diri selepas orang ramai cuba meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati punca pergaduhan itu ialah kerana suspek naik berang selepas permintaannya untuk rujuk ditolak mentah-mentah oleh mangsa.

Menurut Azham, pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang bekerja sebagai pembantu hospital itu dan yakin dia akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera.
-tvsnews-

Tiada ulasan: