"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan tawar konsep perumahan ‘Bina & Jual’


KUALA LUMPUR: Negeri Pakatan akan mengamal konsep perumahan ‘Bina dan Jual’ secara berperingkat-peringkat bagi melindungi pembeli dan pemaju kecil sekali gus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata, Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan kepada langkah dalam bidang kuasa dan pengaruhnya untuk melindungi hak pembeli rumah.
Katanya, hal itu akan dibawa ke mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat untuk mencari konsesus supaya industri perumahan membiasakan diri untuk melaksanakan sepenuhnya konsep itu.
“Keperluan mendesak melindungi hak pembeli mesti diseimbang dengan memastikan harga rumah tidak naik mendadak atas alasan kos pembiayaan projek yang lebih tinggi mengikut konsep ini.
“Pelaksanaan konsep ini mengambil kira keperluan nasional untuk menjamin keterlibatan pemaju kecil; dengan memastikan mereka diberi ruang mendapat kemudahan pembiayaan pada kadar berpatutan.
“Semua ini memerlukan peralihan sikap dan struktur dalam industri perbankan dan perumahan tetapi boleh dicapai jika kerajaan Persekutuan ada kemahuan politik,” katanya.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat percaya campur tangan berterusan perlu untuk memulihkan projek terbengkalai dengan beberapa langkah proaktif untuk melindungi rakyat dari risiko hutang.
Katanya, ia boleh dibuat di peringkat negeri termasuk kemudahan mendapatkan kelulusan perancangan dari pihak berkuasa tempatan (PBT)bagi projek yang dibina mengikut konsep itu.
“Anak-anak syarikat dalam industri perumahan boleh diminta melaksanakan projek mengikut sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.
Anwar berkata, ramai rakyat terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru tidak mampu membeli rumah berikutan peningkatan harga sedangkan purata kenaikan gaji lebih rendah.
“Harga rumah meningkat berterusan sedangkan purata kenaikan gaji lebih rendah sehingga menyukarkan rakyat memiliki rumah yang sesuai dengan keperluan mereka,” katanya.
Bagi yang membeli rumah pertama, katanya, mereka berdepan risiko hutang berpanjangan apabila projek rumah yang dibeli akhirnya terbengkalai.
“Pembeli dari golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar pinjaman rumah sementara masih menyewa. Mereka akhirnya tidak mampu meneruskan bayaran dan disenarai hitam dari mendapat pinjaman pada masa hadapan.
“Bagi mereka, memiliki rumah yang sesuai menjadi satu kemustahilan,” katanya.
Mengikut statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehingga 31 Disember 2009, sebanyak 115,788 unit rumah melibatkan 492 projek di seluruh negara, gagal disiapkan.

Tiada ulasan: