Ismail Hashim
SHAH ALAM, 24 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad secara rasmi menarik diri dari menyertai Flotilla II dan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia.
Beliau sebelum ini diumumkan sebagai mewakili Ahli Parlimen PAS semasa pelancaran Flotilla II ke Gaza oleh Perdana Menteri Najib Razak, 18 Jun lalu di Stadium Badminton Kuala Lumpur Cheras.
Khalid yang kini berada di Tanah Suci Makkah sejak 22 Jun berkata, hatinya merasa berat untuk ikut serta berdasarkan situasi yang berlaku tentang tatalaku pengurusan LL4G yang baginya, telah dikuasai Umno.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan menarik diri dari menyertai flotilla II selepas memohon petunjuk dari Allah SWT dengan berkat malam Jumaat di hadapan Kaabah Asy-Syarif.
"Setelah melakukan solat istikharah pagi tadi (Jumaat) dan bila bangun sebelum Subuh, hati saya semakin berat untuk menyertai misi ini, juga teringat betapa pihak penganjur langsung tidak menghubungi saya dan segala maklumat saya terpaksa telefon sendiri.
"Semakin jelas misi ini ada agenda tertentu apabila berlakunya kes Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihalang berucap dalam majlis pelancaran dan penipuan penganjur berhubung isu itu, seterusnya penarikan diri Muslimcare yang dinafikan penganjur.
"Sekiranya dari sekarang menipu, tak tahu apa lagi yang akan berlaku kelak," jelasnya melalui mesej BBM kepada HarakahDaily.
Dua hari lepas, ketika di Arab Saudi, Khalid menulis di dalam blognya, http://khalidsamad.com, beliau masih ingin menyertai misi suci itu namun minta masa untuk beliau lakukan istikharah di depan Kaabah.
Terkini, beliau memaklumkan akan menunaikan jemputan MuslimCare untuk tunaikan hasratnya ke Gaza melalui jalan darat dijangka pada 1 Julai ini.
Mengulas perkembangan mutakhir, Khalid berkata, berasaskan niat ikhlas, tiada agenda tersembunyi Insya Allah misi akan lebih diberkati-Nya walaupun tidak dicanang media perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan