"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan tutup kes Bala tanpa alasan munasabah



KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak melakukan siasatan terhadap bekas penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam kerana membuat akuan bersumpah palsu dan bukan menutup kes berkenaan.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata demikian ekoran jawapan bertulis yang diterima dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan kes tersebut  telah ditutup.
Tian Chua berkata,  beliau terkejut apabila  kerajaan menyatakan  kes  tersebut selesai tanpa memberikan sebarang alasan munasabah.
Menurutnya, sekiranya dakwaan Balasubramaniam tidak berasas, bekas penyiasat persendirian itu sepatutnya diambil tindakan kerana memburukkan nama negara.
“Saya sudah terima jawapan menteri, bahawa kes Bala sudah tutup dan selesai. Ini satu perkara yang pelik,”
“Kalau apa yang dikatakan tiada asas, maksudnya kita perlu siasat, kita tidak mengerti bagaimana caranya peguam negara atau kerajaan Malaysia boleh kata siasatan selesai dan tidak ada lagi (siasatan) perlu dilanjutkan,” kata Tian ketika sidang media di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz mengelirukan apabila menggunakan tafsiran undang-undang untuk menutup kes berkenaan.
“Kita tidak perlu ke universiti untuk belajar undang-undang untuk memahami bahawa tafsiran ini salah,” katanya.
Menurutnya, kesalahan akuan bersumpah palsu adalah serius kerana ia  sama seperti kesalahan membuat sumpah palsu ketika memberi keterangan di mahkamah,
Balasubramaniam sebelum ini menggemparkan negara apabila pada 3 Julai tahun lalu muncul di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengumumkan akuan bersumpahnya mengaitkan Najib pembunuhan dalam kes pembunuhan Altantuya.
Bagaimanapun keesokannya pula, dia menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua pada sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri ke luar negara.

Tiada ulasan: