"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peserta Bersih perlu tahu hak mereka- LFL


Nur Nabihah Hamid
Kuala Lumpur: Pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL) menganjurkan bengkel terbuka berhubung hak peserta ketika  perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Peguam, Fadiah Nadwa Fikri berkata, bengkel tersebut diadakan bagi memberi pendedahan tentang hak peserta perhimpunan sekiranya mereka berdepan salahgunakuasa atau ditangkap polis.
“Persediaan awal sangat penting dan mereka menyertai perhimpunan ini tidak perlu takut kerana dengan pendedahan yang diberikan pastinya mereka akan mendapat perlindungan dari segi undang-undang”
“Ramai masih lagi keliru dan tidak tahu tentang hak asasi mereka. Anda berhak untuk mendapatkan khidmat peguam sebelum memberi apa-apa kenyataan (ketika ditahan),” kata Fadiah ketika dihubungi Keadilandaily.
Menurut Fadiah, Peguam LFL dan Pusat Bantuan Guaman sedaya upaya  memberikan bantuan kepada mereka yang ditahan pada hari perhimpunan tersebut.
Namun beliau percaya pihak berkuasa itu akan menggunakan pelbagai cara bagi menyukarkan peserta untuk mendapatkan khidmat peguam mereka.
Katanya, antara perkara yang akan dilakukan polis ketika penangkapan adalah seperti merampas telefon bimbit peserta bagi menyukarkan mereka berkomunikasi dan berjumpa peguam.
Justeru itu katanya, adalah penting peserta perhimpunan sendiri mengetahui tentang hak mereka  sekiranya mereka ditahan sebelum dan semasa perhimpunan itu.
“Oleh itu, saya nasihatkan agar orang ramai tegas dan bangun melawan. Jadi penting untuk mereka hadir pada bengkel 30 Jun ini bagi mengetahui lebih jelas tentang hak mereka dan sebagai persediaan ketika berdepan polis,” katanya.
Bengkel bertajuk Bersih 2.0: LFL “Right To March!”-Hak Anda Berhadapan Dengan Polis ini akan dikendalikan sepenuhnya  peguam hak asasi N Surendran bersama dengan peguam-peguam LFL yang lain.
Bengkel tersebut dijadual diadakan pada tarikh 30 Jun bertempat di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Tiada ulasan: