Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melihat adegan serang-menyerang antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berhubung himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai begitu menghiburkan rakyat yang sebelum ini sedikit terganggu apabila diasak oleh pelbagai ugutan oleh kedua-dua pihak ini.
Khairy meminta Presiden Perkasa, Ibrahim Ali disiasat di bawah Akta Hasutan 1949 kerana mengeluarkan kenyataan ‘perkauman, menghasut dan berbahaya’.
Manakala Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, pula mahu Khairy disiasat di bawah ISA kerana turut melibatkan diri dalam perhimpunan membantah Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, paling menarik sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.
“Situasi pada masa ini nampaknya begitu menyebelahi Bersih dan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, Bersih terus mara walaupun pada mulanya ada pihak yang cuba membuat kacau dan mengugut mahu melakukan huru hara.
“Termakbulah doa orang-orang yang beriman yang bertekad menyertai Bersih kerana Allah memecah belahkan golongan yang takut pada perpaduan rakyat melalui Bersih,” katanya.
Tambahnya, mereka mahu memecah belahkan sokongan rakyat pada Bersih yang akhirnya mereka sendiri yang berpecah dan bercakaran.
Katanya, DPPP yakin dengan keikhlasan rakyat yang akan turun 9 Julai ini, segala ancaman dan ugutan dari Perkasa atau pihak-pihak lain hanyalah menambahkan semangat mereka sahaja.
Tegasnya, semakin di desak, diugut, ancam, maka semakin kuatlah iltizam rakyat menuntut perubahan.
“DPPP mengesa seluruh Jentera Penerangan PAS, khususnya jentera pemuda untuk mempertingkatkan promosi Bersih melalui ceramah, roadshow, edaran risalah serta kempen siber,” katanya lagi.
Beliau menambah, setiap rakyat berhak untuk tahu tentang Bersih dan himpunan 9 Julai.
Menurutnya, mereka wajib tahu hak demokrasi mereka dan penyelewangan yang berlaku dalam Pilihan raya serta 8 tuntutan Bersih.
“Kepada Pemuda Umno dan Perkasa, mari sertai Bersih atau duduk sahaja dirumah menjadi suri rumah kalau tidak berani berdepan dengan tuntutan rakyat.
“Ayuh anak muda, ayuh rakyat. Katakan Ya pada ‘Bersih’ dan Ya untuk ‘Hak Demokrasi’ anda. Mari kita ‘kuningkan’ Kuala Lumpur 9 Julai ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan