"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Insiden UPSI: PAS desak tubuh Suruhanjaya Diraja

Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 2 Jan: PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden berdarah akibat pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.


Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata tindakan polis menyurai mahasiswa yang berhimpun membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada malam sambutan tahun baru 2012 sangat tidak wajar.

Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu.

Menurutnya, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit.

“Saya minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari siapa salah.

“Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan.

“Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan UPSI yang menyebabkan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk serta seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala.

Suatu tindakan yang tidak sepatutnya apabila pelajar-pelajar yang hendak mempertahankan salah seorang daripada mereka yang hendak diambil tindakan oleh pihak UPSI diberikan layanan yang sebegitu buruk oleh pihak terbabit.

Menurut Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini.

Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat.

Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai.

“Tidak padan pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa,” ujarnya.

Abu Bakar berkata, pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa.

Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut.

“Tetapi dengan cara menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini,” ujarnya.

Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapuskan Auku.

Menurutnya, sejak akta itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak ‘lumpuh’.

Ini kerana, katanya mahasiswa dan pensyarah dikongkong Auku yang begitu menekan golongan tersebut.

Tiada ulasan: