"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkasa akan sekat himpunan bebaskan Anwar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Jan: NGO pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menyekat penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 9 Januari ini.

Dalam satu sidang media semalam, Presidennya Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, perhimpunan oleh Perkasa itu adalah sebagai "misi mempertahankan keamanan negara" dan akan bermula dengan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan.
"Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali serta penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi," katanya.

Mengulas larangan pihak polis agar mana-mana pihak tidak mengadakan himpunan pada hari itu, Ibrahim berkata terpulanglah kepada polis untuk menghalang Perkasa atau pembangkang kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram.

Tahun lalu, Perkasa turut mengeluarkan kenyataan sama, iaitu mahu menyekat Himpunan Bersih 2 yang diadakan 9 Julai 2011 dengan mahu mengadakan himpunan anti Bersih.

Namun beberapa sehari sebelum Himpunan Bersih yang disertai lebih 50,000 rakyat itu, Ibrahim mengumumkan perhimpunan Perkasa dibatalkan dengan alasan tidak mendapat kebenaran pihak stadium.

Sementara itu, Azmin pada satu sidang media semalam memaklumkan bahawa PKR akan menggerakkan sekurang-kurangnya 100,000 orang bagi menyertai himpunan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

Katanya, walau apa pun keputusan yang diumumkan, Pakatan dan PKR telah bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat.

Tiada ulasan: