"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahasiswa pilih k’jaan baru, Umno BN mesti undur

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Jan: Mahasiswa akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya umu ke-13 nanti, justeru Umno BN mesti berundur.
Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan polis terhadap para mahasiswa yang berhimpun di Universiti Perguruan Sultan Idris, awal pagi semalam.

“Mahasiswa mahukan perubahan, kali ini mahasiswa dan anak muda akan membuat pilihan yang tepat.

“Kami akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang. Umno BN mesti berundur, mereka sudah tidak layak lagi mentadbir Malaysia dengan prestasi yang sangat buruk,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Mengenai insiden yang berlaku itu, beliau berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan mesti bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku itu.

Justeru, katanya mahasiswa desak agar Ketua Polis Perak itu membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap anggota beliau yang memukul dan menerajang peserta demonstrasi.

Katanya, Shukri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan nafi berhubung dengan kejadian yang berlaku, yang menjelaskan lagi sifat tidak profesional pihak PDRM bekerja.

Menurutnya, mahasiswa bukan golongan penjenayah, mahasiswa hadir hanya berbekalkan suara dan kain rentang, pihak polis tidak wajar membuat kekerasan sedemikian

Selain itu juga, ujarnya mahasiswa mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas khususnya dan juga seluruh mahasiswa Malaysia umumnya atas kekasaran anggota polis itu.

“ Amaran keras kepada pentadbiran Malaysia, bahawa kecaman dan kekerasan yang dibuat oleh pihak polis tidak lagi menjadi halangan bagi seluruh mahasiswa bahkan ia menambahkan lagi semangat kami untuk terus bersatu dalam membebaskan mahasiswa daripada belenggu kezaliman,” tegasnya.

Beliau menambah, perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan akademik juga akan terus membara di seluruh pelosok negara dan tidak sekali-kali akan terhenti.

Tiada ulasan: