Aslani M Foto: M Yarisman
MACHANG, 6 Jan: Bersaksikan puluhan ribu rakyat Kelantan malam tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau dan keluarga tidak akan lari meninggalkan negara biar pun berdepan dengan kezaliman yang menjijikan.
“Saya, anak dan isteri tidak sekali-kali meninggalkan negara ini biar pun berdepan dengan penghinaan yang begitu rupa.
“Saya telah mengadakan perjumpaan keluarga melibatkan isteri, anak dan menantu telah mencapai keputusan ini. Cuma mereka bimbang sekiranya saya sekali lagi dipenjara akan dicederakan seperti pernah berlaku sebelum ini.
“Kalau saya lari orang lain pula akan kena. Saya telah menjelaskan kepada rakan-rakan di luar negara rakyat bukan marahkan saya tetapi segelintir pemimpin yang rasuah dan zalim,” katanya pada program Amanat Terakhir di padang Majlis Daerah Machang.
Hadir sama Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota Exco, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan pemimpin-pemimpin PAS dan PKR.
Pada 9 Januari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat versi II selepas perbicaraan yang penuh kontroversi berlangsung tahun lepas.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beliau dipelawa rakan-rakan di Turki dan negara Arab yang bersedia memberi tempat kepadanya memandangkan penganiayaan dan penghinaan terhadapnya masih berterusan.
Katanya, Perdana Menteri Turki, Tayyid Erdogan ada mempelawanya mendapat perlindungan di negara itu dan begitu juga rakan-rakan di negara Arab.
Bagaimanapun kata beliau Erdogan lebih memahami suasana sebenar kerana beliau juga pernah dipenjarakan oleh pemerintah Turki sebelum ini kerana pendakwaan yang bermesej politik.
“Begitu juga dengan apa yang saya hadapi sekarang, lebih kurang sama dengan Erdogan alami sebelum beliau berada di kedudukan sekarang sebagai pemimpin utama Turki,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap rakyat dan penyokong Pakatan bermunajat kepada Allah kerana segala keputusan dan tindakan di bawah penguasaanNya.
Seng Giaw sebelum itu memberitahu dua hakim yang pernah mengadili perbicaraan kes liwat I iaitu Datuk Augustine Paul dan Datuk Ariffin Jaka sudah meninggalkan dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan