WAJAH-WAJAH Messi ketika memenangi trofi FIFA Ballon d'Or (dari kiri) tahun 2011, 2010 dan 2009.
ZURICH, Switzerland: Lionel Messi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia (FIFA Ballon d'Or) 2011 dalam satu majlis gala di Zurich kelmarin.
Ini adalah kali ketiga bintang Barcelona itu memenangi gelaran berprestij yang dianugerahkan kepada pemain-pemain bola sepak terhebat di dunia.
Messi, 24, berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dari Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukan dari Barca, Xavi.
"Ia suatu kepuasan peribadi," kata Messi.
"Ini kali ketiga saya memenanginya. Ia suatu penghormatan yang luar biasa. Saya mahu berterima kasih kepada semua orang yang terlibat, rakan sepasukan saya, jurulatih, fisioterapis, Pep Guardiola dan semua orang di Barcelona.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada skuad kebangsaan Argentina," katanya.
Messi muncul pemain kedua selepas presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini yang memenangi anugerah berkenaan buat tahun ketiga berturut-turut.
Penyerang Argentina itu juga sebaris dengan Platini, Johan Cruyff dan Marco van Basten sebagai pemain yang menjulang gelaran tersebut sebanyak tiga kali.
Anugerah itu diperkenalkan pada 2010 selepas Ballon d'Or bergabung dengan anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA yang ditentukan menerusi undian daripada jurulatih, kapten skuad kebangsaan dan wartawan bola sepak yang dipilih oleh majalah bola sepak Perancis.
Sementara itu jurulatih Barca, Guardiola pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Dunia FIFA.
Pengurus Manchester United, Alex Ferguson pula menerima pengiktirafan Anugerah Khas Presiden FIFA di atas sumbangannya selama 25 tahun di Old Trafford.
Lima pemain Barca tersenarai dalam Kesebelasan Utama FIFPro 2011 iaitu Dani Alves, Gerard Pique, Andres Iniesta, Xavi dan Messi.
Real Madrid pula mempunyai empat wakil iaitu Iker Casillas, Sergio Ramos, Xabi Alonso dan Ronaldo, manakala dua pemain United, Nemanja Vidic dan Wayne Rooney melengkapkan senarai tersebut.
-AFP/kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan