Azman Ariffin
Soal kemasukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Umno-Pulau Manis), Mohd Ariff Sabri Aziz bersama seorang lagi veteran Umno Negeri Sembilan, Aspan Alias ke dalam DAP memang menarik.
Penulis rasa, keberanian Arif Sabri mengkritik Umno dalam blognya itu yang menjadi sebab kenapa DAP menerimanya sebagai ahli parti tersebut, disamping mahu menjadikan penyertaan ini untuk membaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun dalam masa yang sama, penulis melihat keperluan untuk DAP berhati-hati dengan orang seperti Ariff Sabri ini.
Justifikasi penulis, selain latar belakangnya sebagai bekas ahli dan Adun Umno, dia juga adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketuanya.
Jawatan Ketua Penerangan ini bukan ditentukan secara pemilihan, sebaliknya melalui cara lantikan oleh Ketua Bahagian.
Ringkasnya, Ariff Sabri ialah orang kepercayaan Najib sehingga dipilih sendiri olehnya untuk menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan.
Ini semua menjurus kepada satu tanda yang jelas iaitu Ariff Sabri ialah orang kepercayaan Najib.
Walaupun tidak dipilih semula pada 2008, penulis mendapat maklumat hubungan Ariff Sabri dan Najib masih kukuh seperti biasa.
Menurut sumber penulis, Ariff Sabri dikatakan beberapa kali mengunjungi Najib di pejabatnya di Putrajaya seperti tercatat dalam buku pelawat di samping pengesahan visual oleh beberapa orang yang pernah melihatnya.
Penulis percaya, blog sakmongkolak47, adalah cubaan Ariff Sabri untuk mengelirukan DAP kononnya dia adalah penentang Umno dari dalam.
Kegagalan Ariff
Kalau betul dia penentang Umno sekalipun, keikhlasannya boleh dipertikaikan kerana dia hanya mula menulis sejak 2008 apabila tidak dipilih semula mempertahankan Dun Pulau Manis – ciri-ciri biasa bagi orang yang kecewa.
Itu satu hal, satu hal yang lain ialah Ariff Sabri mempunyai sejarah sebagai pemimpin yang gagal menjalankan tugas dengan baik sepanjang sepenggal berkhidmat sebagai Adun Pulau Manis.
Bukan satu rahsia lagi bahawa Ariff Sabri sering kali bergaduh dengan beberapa orang ketua kampung dalam kawasan Dun tersebut.
Penulis juga mendengar, rakyat sendiri sukar untuk mendapat khidmat Ariff Sabri kerana dia diketahui jarang berada dikawasannya.
Sebelum menceburi politik, Ariff Sabri juga ialah seorang ahli perniagaan yang gagal.
Persoalan penulis, dengan latar belakang Ariff Sabri yang ‘meriah’ dengan kegagalan, kenapa DAP masih mahu bersengkokol dengan orang seperti ini malah cuba pula menonjolkannya sebagai pemimpin parti tersebut?
Kalau pun peranannya sebagai ejen Najib untuk memusnahkan DAP dari dalam diragui, DAP harus pertimbangkan rekod perkhidmatannya yang buruk di Pulau Manis sehingga tidak dicalonkan semula walaupun menjadi antara orang kepercayaan Najib.
Kenapa perlu menggadaikan nasib rakyat dengan mencalonkan orang seperti ini?
Penulis harap, masih belum terlambat untuk DAP mengkaji semula penyertaan Ariff Sabri dalam parti tersebut.
*Rencana ini buat pertama kali terbit dalam Sabahkini.
1 ulasan:
masalah biasa bagi parti dalam pakatan rakyat... suka sangat amek orang serpihan nih... makhluk-makhluk kecewa...
kot ye pun musuh datang bertandang ke rumah... jangan la terus ajak naik sampai dalam bilik...
elok-elok, duduk la dulu kat serambi, tengok dulu apa niat orang datang bertandang.
ni tidak... terus je bawak masuk bilik... silap-silap tah anak, tah bini kena rogol... baru padan muka...
Catat Ulasan