Jamilah Kamarudin
PETALING JAYA: Pengganti Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor akan diketahui pada hujung minggu ini di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pemimpin tertinggi yang diketuai Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan dirinya akan berjumpa dan mula berbincang mengenai perkara itu di Kedah.
“Keputusan muktamad siapa pengganti akan ditentukan dan diumumkan nanti oleh Presiden,” katanya ketika dihubungi FMT.
Katanya, nama itu nanti kemudiannya akan diserahkan Hadi kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenankan.
Ditanya tentang calon pilihan, Mohamad berkata PAS tidak ada calon ‘favourite’ dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor layak memegang jawatan itu jika dilihat kriteria sekaligus memberi peluang sama rata kepada tujuh Adun PAS lain.
“Tiada senarai pendek calon. Kesemuanya layak. Dulu lapan orang (Adun) sekarang tinggal tujuh, senang nak pilih,” katanya.
Mereka adalah Adun Hulu Kelang Saari Sungib, Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Selat Kelang Halimah Ali, Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz, Adun Bangi Shafie Abu Bakar, Adun Cempaka Iskandar Samad, selain Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Adun Meru Dr Abdul Rani Osman.
Namun Iskandar dan Halimah masing-masing sudah memegang portfolio Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor serta Exco Pendidikan.
“Sesiapa pun boleh pegang jawatan Exco, tak susah mana pun tugas itu,” katanya.
Sultan Selangor perkenan Hasan Ali digugurkan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini perkenan untuk menggugurkan Hasan Ali daripada jawatan exco kerajaan negeri selepas mengadakan pertemuan dengan Khalid di Istana Kayangan di Shah Alam pagi ini.
Khalid berkata, baginda telah bersetuju menggugurkan Hasan Ali kerana dia tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri manakala pelantikan Exco baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada Rabu depan.
Selain dipecat daripada Exco, hak keistimewaan Hasan Ali turut digugurkan.
Sementara itu, Hasan Ali dijangka akan mengadakan sidang media pada Isnin depan di kediamannya di Pinggiran TTDI, Kuala Lumpur bagi menjawab kekeliruan mengenai statusnya kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan