"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salihiah: Mufti sudah jelaskan kepada Agong

Harakahdaily
ALOR SETAR, 9 Jan: Mufti Kedah telah menjelaskan isu Madrasah Salihiah kepada Yang Dipertuan Agung dan akan ke mahkamah bagi menjelaskan dengan lebih terperinci.

Datuk Syeikh Baderudin Haji Ahmad memberitahu, beliau lebih senang untuk mengemukakan hujah yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri Kedah berhubung isu cadangan istibdal tanah wakaf Madrasah Salihiah di mahkamah.

“Lebih senang saya bercakap dengan orang cerdik di mahkamah dengan membawa segala hujah dan bukti,” katanya.

Bercakap kepada wakil Warta Darul Aman di pejabatnya, beliau berkata apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa adalah berdasarkan apa yang diminta oleh pihak jawatankuasa Madrasah Salihiah.

Malah, katanya, apa yang diberi (kepada Majlis Agama Islam Kedah) lebih besar dari apa yang diminta.



“Nilaian semasa tanah wakaf itu cuma RM800 ribu tetapi pihak terbabit setuju bayar RM1.48 juta.

"Begitu juga surau ganti dibuat dengan lebih besar di tingkat bawah bagi memudahkan jemaah memasukinya,” terang Datuk Syeikh Baderudin (gambar).

Sebelum ini Mufti Kedah itu telah mempelawa Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) untuk bertemunya bagi menjelaskan perkara sebenar tetapi BBSMS enggan sebaliknya mengemukakan tuntutan di mahkamah.

Berhubung pemakluman fatwa terhadap SPB Yang DiPertuan Agong, beliau menjelaskan bahawa secara rasmi pihaknya belum berbuat demikian dan akan menghantar empat orang wakil Majlis Fatwa Negeri untuk bertemu baginda bagi memperjelaskan keputusan fatwa secara terperinci.

“Tetapi secara tidak rasminya saya telah menjelaskan kepada Tuanku dan baginda bersetuju terhadap fatwa tersebut,” ujarnya.

Tiada ulasan: