Pemimpin PAS sudah menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk memecah kebuntuan berhubung calon menteri besar Selangor, lapor akhbar berbahasa Cina.
Memetik sumber PKR, Sin Chew melaporkan parti itu akan menamakan doktor perubatan itu sebagai calon kompromi untuk mengakhiri krisis tersebut yang mungkin memecahkan Pakatan Rakyat (PR).
Akhbar tersebut melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai bantahan sekiranya Dr Idris dijadikan menteri besar dan Istana Selangor dijangka tidak akan membantah sekiranya Adun Ijok itu dinamakan.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sebelum ini dipegang oleh Khalid sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih pilihan mereka untuk menggantikan Khalid.
Dr Idris yang mempunyai klinik di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dilihat sebagai pemimpin tanpa kontroversi dan dihormati pemimpin PKR dan menyertai politik semasa gerakan reformasi dulu.
Pemimpin PAS juga mengharapkan pemilihan Idris yang berasal dari Selangor akan melembutkan kedegilan Khalid untuk terus kekal berkuasa.
Sin Chew melaporkan, pemilihan Dr Idris akan melembutkan golongan konservatif PAS yang tidak boleh menerima wanita sebagai pemimpin negeri terkaya Malaysia itu.
Laporan tersebut mengatakan, kebimbangan utama PKR adalah tentangan daripada penyokong Timbalan Presiden PRK Mohamed Azmin Ali.
Pada Sabtu, The Malaysian Insider memetik sumber mengatakan terdapat usaha mencari calon alternatif kepada Dr Wan Azizah untuk jawatan tertinggi Selangor itu.
Seorang pemimpin PKR sudah dikenal pasti tetapi tidak boleh dinamakan sehingga konsensus dicapai di antara PKR, DAP dan PAS.
Sumber itu turut memberitahu The Malaysian Insider, nama Azmin turut dicadangkan tetapi ditolak oleh kebanyakan pemimpin PAS.
“Calon ketiga haruslah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang yang boleh diterima MB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” kata sumber dan menambah, rekod pencapaian yang baik juga diambil kira.
Krisis menteri besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam PR selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.
Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
PAS sendiri berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab: beliau seorang wanita yang menyebabkan beberapa pemimpin negeri tidak selesa dan beliau tidak boleh membuat keputusan kerana Anwar adalah suaminya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta semua parti politik menyatakan pendirian mereka sama ada wanita boleh dilantik sebagai menteri besar sebelum bercakap tentang menggantikan ketua eksekutif Selangor.
“Janganlah kita hilang tumpuan dengan cadangan menukar menteri besar. Isu utama yang perlu diselesaikan, seperti dikatakan Anwar adalah tentangan terhadap wanita dilantik untuk jawatan tersebut," katanya.
-tmalaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan