SHAH A. DADAMEAH
SEKEMBALI ke Kuala Lumpur setelah bercuti bersama keluarga di tiga buah negeri di utara, termasuk di kampung halaman di Pulau Pinang, penulis terkenang suatu peristiwa yang berlaku di musim perayaan Aidilfitri, empat tahun lalu.
Kejadian yang mempunyai kisah dan teladan yang tersendiri ini berlaku di kawasan kondo Vista Impiana di Bukit Serdang, kira-kira 15 kilometer dari ibukota melalui Lebuhraya Sungai Besi.
Ini bukan sebuah cerita seram tapi mungkin membangkit rasa geram dengan puak-puak tertentu.
Kesudahannya menggambarkan betapa tenang dan bertoleransi masyarakat Islam dalam menghadapi keadaan cemas yang berupaya menggugat kedudukan agama mereka.
Peristiwa berlaku pada September 2010, tatkala rakyat Malaysia turut menyambut Hari Kemerdekaan, kerana kedua-dua perayaan besar ini bertembung pada tahun itu.
Penulis dan keluarga beraya di tempat lain dan pulang semula pada Hari Raya keempat ke kediaman kami, Vista Impiana.
Alangkah terkejut, setibanya di sana seorang jiran memberitahu surau di kawasan kami diserang pada malam raya!
Walaupun ia bukan seperti serbuan Zionist yang berapi-api ke bumi Gaza, ia tetap jelek dan jahat kerana penyerang yang mensasarkan surau Al-Ikhsan itu menggunakan botol dan bekas tin berisi arak!
Serangan itu melingkup tingkap dan dinding surau. Lebih melukai jiwa, ia mengotorkan beberapa naskah al-Quran dan helaian sejadah di dalam bangunan itu yang disediakan untuk jemaah.
Perbuatan keji itu memalukan pemastautin di kawasan Vista Impiana, yang merangkumi penduduk luar negara, selain masyarakat tempatan.
TIDAK DIGEMPAR-GEMPURKAN
Ia mengambil masa yang lama – iaitu beberapa bulan - sebelum bau dan bekas alkohol yang terlekat kepada dinding dan lantai dapat dilenyapkan dan surau Al-Ikhsan kembali berperanan sebagai pusat beribadah bagi umat Islam di kawasan itu.
Terdapat sekitar 800 keluarga di kondo 21 tingkat itu dan kira-kira satu-perlima adalah keluarga Islam rakyat tempatan.
Yang lain terdiri daripada rakyat Malaysia bukan Islam dari pelbagai kaum dan penganut agama, termasuk dari Sabah dan Sarawak, serta warga asing dari segenap ceruk benua Asia, Timur Tengah dan Afrika yang di antaranya, juga dari kalangan ummah Allah S.W.T.
Surau Al-Ikhsan merupakan sebuah bangunan kecil di suatu penjuru terpencil di pekarangan kondo yang juga menyediakan kemudahan gimnasium, kolam renang, taman permainan kanak-kanak, kafe siber , kedai runcit dan makanan.
Walalupun menjadi sasaran ‘bom’ alkohol, kejadian di Vista Impiana tidak digempar-gempurkan seperti kejadian di sebuah surau di Negeri Sembilan ketika itu yang disimbah cat.
Ia juga tidak mendapat perhatian seperti suatu ceramah politik yang disampaikan oleh seorang Ahli Parlimen wanita bukan Islam di sebuah surau di Kajang.
Salah seorang pelaku yang terbabit membuat pengakuan bahawa dia dan beberapa orang rakan berada dalam keadaan mabuk semasa bertindak liar ke atas surau Al-Ikhsan.
Anehnya, serangan itu bukan dilakukan oleh penjenayah-penjenayah jalanan atau gangster dari kawasan setinggan.
Mereka merupakan pemuda-pemuda biasa yang sering menegur sapa penduduk-penduduk lain sewaktu masuk lif atau bersiar di tepi kolam, atau semasa berjumpa di restoran mamak, atau di kafe siber.
Tak masuk akal bagi mereka melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keharmonian setempat dan di kalangan masyarakat umum, lebih-lebih lagi dengan jiran-jiran Muslim di musim perayaan Aidilfitri.
Namun, bila dah mabuk dan tidak begitu siuman akibat meminum arak, itulah kesannya.
PENGARUH LUAR
Bencana itu, penulis difahamkan, adalah ekoran daripada suatu kejadian dangkal yang berlaku jauh dari tanahair kita; iaitu di Amerika Syarikat.
Bahawasanya, seorang pendakwah Keristian bernama Terry Jones dari sebuah pekan kecil di Florida diberitakan mengugut orang Islam dia akan membakar bertimbun-timbun naskah al-Quran pada September 11 di tahun tersebut.
Dia ingin membuat demikian sebagai tanda bencinya kepada pemusnah menara kembar di New York pada 2001 dan juga untuk menunjukkan kepada kaum Islam bahawa mereka adalah musuhnya.
Namun, hasrat jahatnya tidak kesampaian kerana dikutuk keras oleh pelbagai pihak di seluruh dunia dan dilarang oleh pihak penguatkuasa undang-undang. Pun begitu, pendirian Jones berjaya mencetuskan kebencian terhadap orang Islam di merata-rata ceruk dunia.
Malangnya, segelintir manusia di Malaysia juga terpengaruh dan mendapat “inspirasi” daripada idea Jones yang bengis itu untuk membuat kacau-bilau di kalangan orang Islam di negara ini.
Apa pun, penduduk Islam di Vista Impiana telah membuat laporan polis dan ketua polis daerah Serdang ketika itu, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias telah mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi menyelesaikan isu yang genting itu.
Dengan kebijaksanaan beliau, kes itu diselesaikan secara dalaman dan kami bersetuju ia tidak melepasi pagar masuk ke kawasan kondo itu.
Lagi pun, ia musim Hari Raya dan kami, masyarakat Islam di Vista Impiana berpakat tidak akan buat bising dan riuh mengenai hal itu kerana tidak mahu menjejaskan suasana perayaan.
Juga, pihak polis ketika itu sedang bergelut dengan misteri kematian ratu kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang rakan niaganya di samping tuga-tugas berat yang lain.
Maka, dirasai penduduk sendiri boleh menyelesaikan isu yang dihadapi secara adil tanpa mengheret pihak media dan orang politik kedalam kancah masyarakat setempat itu.
Yang membuat liputan mengenai peristiwa itu hanya sebuah tabloid harian berbahasa Melayu.
Selain memarahi pemuda-pemuda yang terlibat, kami menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk diselesaikan secara bijak dan mengikut nas-nas perundangan.
Seperti masyarakat Malaysia umumnya, kami menolak segala percubaan untuk memecah-belahkan rakyat jelata. Penduduk Islam di Vista Impiana bersikap tenang dan bertoleransi walaupun berdepan dengan dugaan yang begitu besar.
Daripada berbalas dendam dan bertindak rakus, kami lebih bersedia menghulur ke dua belah tangan untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain keatas segala kekurangan pada diri sendiri diri.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidin Wal Faidzin. Maaf Zahir dan Batin.
-mstar-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan