"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ustaz muda' pengaruh Hadi jadi tertutup

Kemasukan kumpulan ustaz muda ke dalam PAS mengubah sikap Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi lebih tertutup kata anak lelaki bekas presiden PAS Muhammad Faiz Fadzil.

Kata Faiz, golongan tersebut menyertai dan aktif dalam PAS selepas wujud kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Mereka, katanya, kemudian memencilkan perjuangan Islam PAS hanya kepada isu hudud sahaja.

"Kebiasaannya mereka memegang jawatan dalam PAS dan mula menyingkir golongan profesional dengan melancarkan pelbagai isu, seperti menolak DAP dan pada masa sama, mengabaikan sloganPAS for All (PAS untuk semua).

"Golongan ini melihat islam terhad kepada hudud saja semata-mata dan manu pecahkan pakatan rakyat," katanya di forum anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan semalam.

Forum itu turut dihadiri Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Low Chee Chong dan penganalisis Lim Hong Siang.

Faiz berkata beliau melihat perubahan strategi politik Abdul Hadi yang dulu terbuka kini tertutup ekoran pengaruh gelombang ustaz muda dalam PAS.

Faiz Fadzil berkata demikian sebagai menjawab soalan diajukan Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan Lau Chee Boon.

Panggil Abdul Hadi berdialog

Kata Lau, pihaknya pernah berdialog dengan Abdul Hadi sebelum pilihan raya umum 2013 dan Abdul Hadi kelihatan berfikiran terbuka ketika itu.

"Mengapakah pendirian Abdul Hadi boleh bertukar begitu cepat? Sebelum 505 (tarikh pilihan raya umum ke-13), dia memang berfikiran terbuka. Dia kata PAS mempertegaskan perjuangan negara berkebajikan.

"Saya sangat hairan, selepas pilihan raya, dia tukar begitu cepat. Dia berdegil nak melaksanakan hudud," katanya.

Faiz berkata Abdul Hadi perlu diajak berdialog bagi mendapatkan penjelasan mengenai perubahan sikap berkenaan.

"Kita kena panggil Abdul Hadi berdialog lagi untuk tanya, sebab saya pun mahu tanya dia," kata Faiz.

Sementara itu Teo berpendapat sikap Abdul Hadi bertukar berikutan pergolakan dalaman UMNO.

"Semasa video (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebar, saya tahu inilah sebab mengapa Hadi Awang bertukar sikap.

"Jika orang nombor dua ini membawa sebilangan ahli keluar dari UMNO, mereka yang pro-UMNO atau prokerajaan perpaduan mungkin dapat mengisi jawatan kosong tersebut," dakwa Teo.

Video dimaksudkan Teo adalah rakaman ucapan tertutup Muhyiddin mengenai isu 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
-malaysiakini-

Tiada ulasan: