"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Rakyat sudah terbubar, nasib PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor akan ditentukan malam ini

DAP hari ini mengumumkan menerima keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan mereka, sekali gus membuatkan gabungan pembangkang tidak lagi wujud.

“Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS secara berkesan telah menamatkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud,” kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun itu.

Lim berkata, ketika penubuhannya, dicapai untuk mendukung prinsip muafakat dan kepercayaan bersama bersama demi membawa era baru politik yang telus dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, tambah Lim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak setahun lepas gagal patuh kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan, antaranya dalam isu krisis menteri besar Selangor.

Keadaan itu, tambah Lim, menyebabkan gabungan itu hampir lumpuh.

Perkara itu, jelas Lim diburukkan lagi dengan kesediaan Hadi membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno serta menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah-tengah kontroversi 1MDB.

Tidak terkecuali, Lim juga membangkitkan soal pelaksanaan hudud apabila pindaan enakmen Kelantan dan usaha mengemukakan rang undang-undang persendirian di parlimen tidak dibincangkan terlebih dahulu.

Sementara itu PKR mengarahkan pemimpinnya di semua peringkat menutup mulut daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Pakatan Rakyat sehingga parti itu memuktamadkan tindakan mereka.

Setiausaha agungnya Rafizi Ramli berkata biro politik PKR akan bermesyuarat malam ini di ibu pejabatnya di Petaling Jaya susulan pengumuman DAP bahawa Pakatan tidak lagi wujud.

“Pimpinan PKR di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: