"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan Mazlan Aliman dan keadaan FGV

Tuan Ibrahim Tuan Man
Secara peribadi, saya sedih dengan keputusan yang dibuat oleh sahabat saya Mazlan Aliman. Saya dapat memahami perasaan beliau dan turut merasai luka parah di hatinya, oleh itu saya menghormati hak dan pendirian beliau.

Insya-Allah bagi pihak PAS, kita akan terus memberikan kerjasama kepada Pertubuhan ANAK Kebangsaan bagi memperjuangkan hak dan nasib warga Felda khususnya dan pelbagai agensi lain.

Kini FGV berhadapan dengan krisis yang sangat kritikal, kejatuhan harga saham FGV semalam ke paras RM1.65, tahap yang terendah sejak disenaraikan.

Bahkan pengumuman pembelian 37% kepentingan di dalam PT Eagle High Plantations Tbk bernilai US$680 juta (RM2.5bil), sebuah syarikat perladangan ketiga terbesar di Indonesia juga gagal melonjakkan harga saham melepas RM1.86 sewaktu ia digantung.

Lebih malang apabila KPF mengumumkan kadar dividen 10% adalah yang terendah dalam tempoh 17 tahun.

Keyakinan pelabur berada di tahap yang sangat rendah, lebih-lebih lagi pembelian kepentingan dlm EHP milik konglomerat Rajawali milik Peter Sondakh ini menimbulkan 'banyak kesangsian' kerana ia diselubungi hubungan akrab Sondakh dengan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor dan kebetulan FGV mengalami kemerosatan keuntungan sebanyak 98% pada suku pertama 2015.

Dengan kata lain, pelabur sudah hilang keyakinan kepada pengurusan tertinggi FGV yang diketuai Tan Sri Isa Samad. Tekanan dan desakan agar beliau diturunkan perlu diteruskan.

Sehubungan itu, PAS akan terus mendedahkan pelbagai kelemahan yang sedang berlaku dan mendoakan ANAK akan terus berjaya sebagai sebuah NGO yang membela nasib warga Felda.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
16 Jun 2015

Tiada ulasan: