Abu Hassan Adam
Aku tak tahu ‘nak letak muka di mana’ sekiranya berhadapan dengan rakan-rakan dari luar negara apabila mereka ‘ingin tahu’ tentang keadaan yang berlaku di Malaysia. Kebiasaannya rakan-rakan luar negara tahu ‘mengambil hati’ dan faham tentang sensitif tidaknya sesuatu soalan yang ingin dikemukakan oleh mereka. Lantas soalan yang ditujukan kepada aku tidak ‘direct’ tetapi amat faham ‘jawapan’ yang diperlukan oleh mereka.
Peristiwa malang yang berlaku dalam negara kini yang membabitkan DS Mohd Najib menarik perhatian seluruh dunia dan rakan-rakan dari luar negara amat ingin tahu keadaan ‘sebenar’ yang berlaku dan cara yang amat mereka perlukan ialah dengan mendapatkan maklumat dari ‘sumber asli’ ia itu rakyat Malaysia, walaupun mereka mendapat berbagai-bagai maklumat yang sahih dari akhbar dan majalah dan TV luar negara.
Sebenarnya aku merasakan cukup memalukan dengan berlakunya peristiwa buruk ( IMDB dan RM 2.6 billion yang dimiliki akuan peribadi DS Najib) yang melanda negara kini. Bukan sahaja Perdana Menteri dan Menteri-Menteri ‘yang sewaktu dengan beliau’ yang sedang ‘dibicarakan’ oleh masyarakat dunia kini tetapi juga rakyat Malaysia secara umumnya. Ini yang dikatakan oleh peribahasa Melayu, ’seekor (beberapa ekor) kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit’. Sememnagnya rakyat Malaysia ‘terpalit’ dengan isu yang memalukan ini. Rakyat Malaysia sudah dikira sebagai ‘pondan’ kerana membiarkan perkara ini berlaku dan semacam tidak ada tindakan positif untuk membendung keadaan yang berlaku yang menyebabkan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang bersekongkol terus menerus ‘bermaharajalela’ bertindak ‘membodohkan’ rakyat Malaysia.
Aku amat yakin kini bahawa seluruh dunia sedang memperkatakan tentang kegiatan rasuah di Malaysia samalah keadaannya apabila seluruh dunia membicarakan tentang Presiden Marcos Filipina dan Presiden Suharto dari Indonesia pada suatu ketika dahulu. Dan pernah suatu ketika dulu kita juga mempersendakan kegiatan Imelda Marcos (isteri Presiden Marcos) yang memiliki ratusan pasang kasut dengan berbagai jenama. Dan kini merupakan giliran pemimpin negara kita pula akan dipersenda dan ditertawakan oleh mesayarakat dunia. Dan mungkin sekiranya aku singgah di kedai kasut di New Bond Street London suatu hari nanti, tuan punya kedai tahu yang aku dari Malaysia maka pastinya mereka akan tersenyum sinis melihat aku di situ. Mungkin.
Pemimpin Malaysia kini cukup popular dan memalukan. Jikalau tidak berapa lama dulu hanya Sarawak Report yang memaparkan berita IMDB dan RM 2.6 billion, menteri-menetri kita ‘bergotong royong’ menuduh berita yang disiarkan oleh Sarawak Report sebagai berita palsu. Kemudian muncul pula berita dari Walls Street Journal yang menjelaskan keadaan yang hampir serupa dengan apa yang disiarkan oleh Sarawak Report. Juga dituduh akhbar berkenaan menyiarkan berita palsu sehingga muncul ‘pakar’ undang-undang dari negara kita yang berhasrat untuk mendakwa The Walls Street Journal. Tindakan ‘pakar’ undang-undang itu semacam ditertawakan oleh dunia dan sekali lagi kita dimalukan. Rakyat Malaysia dimalukan oleh segelintir ‘kerbau yang membawa lumpur’.
Kemudian timbul pula isu permohonan kerajaan Malaysia kepada INTERPOL berkaitan dengan penulis blog Sarawak Report, Clare Brown. Sememangnya ada permohonan ‘Red Notice’ dari kerajaan Malaysia tetapi mengikut Jurgen Stock selaku setiausaha INTERPOL, ‘ in line with our standard operating procedure a review was conducted and on 9 August the request for the Red Notice was refused” INTERPOL 27 August 2015. Ini juga memalukan kita di peringkat antarabangsa. Sepatutnya pihak kerajaan kita mengkaji terlebih dahulu tentang wajar tidaknya menghantar surat permohonan demikian kepada badan polis antarabangsa itu. Apakah para pegawai kita tidak mengkaji sehalus-halusnya sebelum melakukan tindakan yang memalukan negara itu.
Semalam berlaku lagi keadaan yang cukup memalukan apabila DS Najib, Perdana Menteri kita dimalukan diperingkat antarabangsa. Ucapan Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugas di Persidangan Antirasuah Antarabangsa ke-16 (IACC) di Puterajaya amat memalukan rakyat Malaysia di mata dunia. Tidak pula aku mahu menyalahkan pihak yang mendedahkan tentang kepincangan yang berlaku dalam negara kita. Beliau hanyalah seorang ‘ messenger’ yang menyampaikan berita. Takkanlah penyampai berita pula yang perlu dipersalahkan.
Katanya, “Kita mahu lihat lebih banyak kemajuan tetapi perkara itu tidak dapat berlaku selagi terdapat soalan tidak berjawab berhubung AS$700 juta yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri….. Ini bukan tindakannya untuk sebuah kerajaan yang melawan rasuah….Terdapat dua persoalan yang perlu dijawab: siapa bayar wang itu dan kenapa, dan ke mana ia pergi? ….Seorang lelaki boleh jawab soalan-soalan ini,” Malaysiakini 2 September 2015.
Rakyat Malaysia sentiasa menunggu titik noktahnya.
http://abuhassanadam.blogspot.my/
1 ulasan:
Ni bukan tahap kerbau bawa lumpur.
Ni tahap babi bergelumang taik masuk dewan.
Kerbau berlumpur bleh gak kita sembelih buat kenduri..
Catat Ulasan