"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak betul jatuh talak tiga, kata Hatta

 Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa beliau kini secara automatik bercerai talak tiga dengan isterinya.
New Straits Times hari ini melaporkan, Ahmad mendakwa Hatta dengan sendirinya bercerai talak tiga dengan isterinya kerana meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ahmad dilaporkan berkata, ia berikutan bai'ah yang pernah dilakukan wakil rakyat PAS sebelum ini.

"Tak betul semua tu (cerai talak tiga)", kata Hatta ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, dengan nada sinis, Hatta mengucapkan 'terima kasih' kepada pesuruhjaya PAS Kelantan itu kerana mengaturkan hidup beliau.

"Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun.

"Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya," kata Hatta yang juga bekas pengarah pilihan raya PAS itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai bai'ah yang pernah dilakukan sebelum ini, Hatta enggan mengulas lanjut dan hanya berkata:

"Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai'ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa," ujarnya.

Sumpah bai'ah dilakukan oleh setiap wakil rakyat PAS yang bertujuan untuk menghalang mereka dairpada melompat parti.

Dipercayai PAS setiap negeri mempunyai sumpah bai'ah masing-masing dan yang paling kontroversi adalah di Kelantan dan Terengganu yang memasukkan klausa perceraian.

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah dilaporkan berkata, wakil rakyat parti itu yang gagal mematuhi sumpah bai'ah perlu bersedia menerima laknat oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Hadi dilaporkan berkata, lafaz sumpah taat setia kepada parti terkandung dalam bai'ah yang ditandatangani sebelum bersetuju menjadi calon atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu, sama ada menang atau kalah.

Isu sumpah bai'ah ini timbul ekoran beberapa wakil rakyat PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, telah membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kemudiannya menubuhkan parti baru, AMANAH.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: