"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Jawatankuasa Parti Pekerja Saman Pimpinan PAS kerana fitnah

Ahli Jawatankuasa Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam telah menyaman Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Writ saman dan pernyataan tuntutan dibuat Nizar melalui Tetuan Awi & Co bertarikh 14 Ogos 2015 di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Tetuan Awi & Co adalah milik Asmuni Awi yang juga Bendahari Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

Defendan (Razman) dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Oktober 2015 jam 9.00 pagi untuk pengurusan kes. Sekiranya defendan engkar hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan, penghakiman boleh dimasukan terhadap defendan.

Nizar mendakwa Razman telah membuat tuduhan berunsur fitnah terhadapnya melalui satu kenyataan akhbar Sinar Harian Edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk : Pendekatan Nizar mirip DAP.

Laporan tersebut mengandungi kenyataan berikut : “PAS mendokong Melayu Islam dan sultan tetapi Nizar seolah-olah memandang enteng dan kekal komited dengan periuangan DAP sebagai parti yang menyokong pendekatan Negara Sekular.”

“Daripada mencemarkan imej parti adalah lebih baik beliau menyertai DAP, kita tak mahu dalam PAS ini dipenuhi dengan individu-individu yang bersifat oportunis dan membelakangkan perjuangan parti”

Nizar yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cangkat Jering mendakwa pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang pemimpin Melayu yang telah mengkhianati bangsa Melayu dan tidak peka dengan kepentingan dan sensitiviti bangsa Melayu.

Beliau juga mendakwa pernyataan itu telah mencemar imejnya sebagai pengkhianat agama Islam demi kepentingan politik dan cuba menyebarkan fahaman sekular di dalam negara dan PAS.

Nizar menafikan kenyataan berunsur fitnah tersebut dan menegaskan bahawa kenyataan defendan itu sebagai tidak berasas dan fitnah yang serius.

Beliau menegaskan kenyataan berunsur fitnah tersebut telah mengundang beberapa reaksi negatif dari rakan-rakan politiknya khususnya PAS dan pembaca akhbar tersebut.

Malah menurutnya lagi, tuduhan itu telah menyebabkan musuh politiknya menggunakan kenyataan itu untuk memburukkan dan menjatuhkan kerjaya politiknya.

Tiada ulasan: