"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dapatkah Umno "bertahan " dalam PRU 14 ?

Abu Hassan Adam
Bagi yang berisfat ‘negatif’ dan yang sentiasa memperkecilkan usaha orang lain akan mengatakan bahawa Perhimpunan Bersih 4 yang baru selesai diadakan itu tidak akan membawa apa-apa kesan, apatah lagi untuk ‘mengundurkan’ DS Najib dari jawatan Perdana Menteri. Betul. Secara langsung tidak akan mengubah ‘status quo’. DS Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dan begitu juga dengan menteri-menteri lain yang bersekongkol dengannya.

Tetapi soalnya dapatkah UMNO bertahan dan terus memenangi PRU 14 nanti berdasarkan berbagai perkembangan yang meruntun yang besar kemungkinannya membawa kepada kehancuran UMNO itu sendiri. Kenyataan Tun Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin boleh dijadikan asas untuk menyatakan bahawa UMNO kini sedang ‘sakit tenat’ dan memerlukan ‘rawatan’ segera sekiranya UMNO perlu dipulihkan atau perlu dibiarkan sahaja terus ‘berkubur’. Dan sekiranya masih ada yang mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku kepada UMNO kini maka itu merupakan satu mimpi di siang hari.

Perhimpunan Bersih 4 sebenarnya bertujuan untuk memberi kesedaran dan kejutan kepada kepimpinan negara bahawa sebenarnya negara Malaysia kini dalam keadaan yang amat parah. ‘Bleeding’. Namun semacam pihak kepimpinan cuba mengabui mata rakyat umum dengan menonjolkan semacam tidak ada apa-apa yang berlaku kini dan dengan demikian dapat ‘melalaikan’ masyarakat yang ‘tidak celik’ untuk terus menerus menyokong dan ‘memejamkan mata’ tentang apa yang sedang berlaku kini.

Rakyat yang masih belum ‘celik’ sepatutnya melihat apa yang berlaku di Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos baru-baru ini sebagai sesuatu kejutan yang luar biasa. Rakyat yang masih belum ‘celik’ harus memikirkan secara mendalam tentang mengapa anak muda dari semua kaum itu sanggup ‘bermalam’ di persekitaran Dataran Merdeka, ‘memperjuangkan’ sesuatu yang dianggap mereka amat perlu diperjuang dan dipertahankan. Dan tentulah ada sesuatu yang amat penting yang diperjuangkan oleh mereka, jikalau tidak masakan ratusan ribu rakyat (kebanyakannya anak muda berbagai kaum) sanggup berhujan dan berpanas demi memperjuangkan sesuatu.

Jangan sekali-kali diperkecilkan usaha anak muda ini. Jangan dipesongkan pandangan masyarakat dengan mengatakan bahawa hanya kaum Cina sahaja yang terlibat dalam Perhimpunan Bersih 4 itu. Jangan cuba hendak dialihkan hasrat dan cita-cita murni anak muda dari berbagai kaum itu. Hakikatnya ialah bukan anak muda Melayu yang berkurangan mengambil bahagian dalam Perhimpunan Bersih 4 itu tetapi sebenarnya bilangan anak muda bukan Melayu yang bertambah. Dan pada pandangan aku ini merupakan perkembangan yang amat sihat demi pembentukan bangsa Malaysia akan datang.

Pastinya pihak pemerintah khususnya kepimpinan UMNO amat ‘runsing’ dengan perkembangan sedemikian. Pastinya Bersih 4 telah memberi isyarat dan kesedaran kepada UMNO peringkat akar umbi di kampung-kampung bahawa apa yang diperkatakan oleh pemimpin mereka sebenarnya tidak ‘selari’ dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan di peringkat pusat. UMNO peringkat akar umbi pastinya mula memikirkan bahawa pastinya ‘ada angin jikalau tidak masakan pokok bergoyang’. Dengan kehadiran penunjuk perasaan yang mencecah setengah juta orang, pastinya mereka merasakan bahawa ada perkara yang amat tidak kena dilakukan oleh kepimpinan negara kini.

Keyakinan sedemikian diperkukuhkan oleh TS Muhyiddin Yassin sendiri yang mengatakan,’ Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan (trust deficit) yang parah. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah semakin longgar. Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga sudah luntur. Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding dollar AS dengan nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling rendah dalam tempoh tujuh tahun. Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera” (TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Timbalan Presiden Umno. 30 OGOS 2015

Dan semakin merunsing dan mengganggu fikiran ahli UMNO peringkat akar umbi tentunya kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir sendiri yang sama-sama hadir dalam Perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini. Dengan tidak teragak-agak Tun Mahathir menjelaskan, ‘“He (Najib Razak) has dismantled the institutions of government by dismantling the task force (on 1MDB), sacking the AG and threatening the governor of Bank Negara. And he is also using the police to make people frightened of him. He has also dismantled the PAC (Public Accounts Committee) by offering them (some PAC members) jobs as minister and deputy minister. This is a kind of bribery.

“We must remove this prime minister. And to remove him, the people must show the people’s power. We cannot allow this man to abuse his position as prime minister. We should move a motion of no confidence in Parliament. I am aware that he has bribed all of Umno MPs, and the division heads and he has told me that cash is king. If you give money to people, they will support you.” (Malaysiakini 30 Ogos 2015)

Maknanya dalam suasana dan keadaan sebegini, kepimpinan UMNO perlu memikirkan sesuatu tindakan demi untuk menyelamatkan UMNO. Bukan sahaja pihak kepimpinan yang perlu bertindak tetapi yang lebih penting lagi ahli UMNO peringkat akar umbi perlu membuat perubahan yang drastik.

Peribahasa Melayu kata, ‘ sekali air bah sekali pasir berubah….”

abuhassanadam
1 September 2015

Tiada ulasan: