"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Singkir Muhyiddin tak dapat dielak supaya Najib selesa

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia akan berterusan memberi gangguan dan ketidakselesaan kepada Datuk Seri Najib Razak dalam memperkuatkan dirinya.

Bagi penulis Shahbudin Husin, Muhyiddin tentu saja akan terus bercakap dan mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan Najib dan ini menyebabkan rakyat serta ahli UMNO tertarik untuk membuat perbandingan antara kedua mereka.

"Oleh itu, menyingkirkan Muhyiddin memang tidak dapat dielakkan bagi memberi keselesaan kepada Najib," tulis beliau dalam blognya hari ini, sebagaimana di bawah.

Mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini sepatutnya mengambil tindakan memecat keahlian Muhyiddin Yassin yang seterusnya menyebabkan jawatan timbalan presidennya gugur secara automatik.

Tindakan itu diambil kerana selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri, beliau terus mengecam Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta dalam beberapa mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang dirasmikannya.

Dengan itu, Muhyiddin dianggap telah mencemarkan parti dan nama baik Presiden UMNO secara terbuka.

Walaupun beberapa nama lain turut disebut akan dipecat sama, tetapi kemungkinan ianya tidak berlaku bagi mengelakkan kemudaratan serta perpecahan dalam parti itu. Ini bermakna hanya Muhyiddin seorang yang akan dikenakan tindakan itu, manakala yang lain kemungkinan hanya diberikan amaran atau langsung tidak diambil apa-apa tindakan.

Blog ini dalam postingnya pada 25 Ogos lalu telah menulis mengenai pemecatan Muhyiddin itu yang dinamakan "operasi kedua" bagi menghilangkan gangguan kepada Najib dalam mengurus parti bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Namun demikian, berikutan reaksi negatif berhubung pemecatan Muhyiddin itu di mana sudah kedengaran ramai pemimpin UMNO sendiri tidak setuju mengenainya, MT UMNO pada 9 September ini dikatakan akan menukar keputusannya daripada pemecatan kepada hukuman penggantungan saja.

Muhyiddin sama ada akan digantung tugasnya sebagai timbalan presiden UMNO atau pun digantung sebagai ahli parti sehingga pemilihan seterusnya iaitu tahun 2018.

Jika dipecat bermakna dibuang terus daripada parti, tetapi penggantungan tugas atau keahlian pula bermakna Muhyiddin masih lagi sebagai ahli UMNO, cuma tidak boleh menjalankan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam tempoh tersebut.

Juga bermakna, beliau tidak boleh menghadiri mesyuarat bulanan MT,  tidak lagi mempengerusikan Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan UMNO serta hilang hak merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri setiap tahun.

Meskipun hukuman penggantungan itu kelihatan lebih lunak berbanding pemecatan, kesan sebenarnya adalah sama saja iaitu kedua-duanya menyebabkan Muhyiddin hilang peranan sebagai pemimpin nombor dua sehingga pilihanraya umum dan pemilihan UMNO yang akan datang.

Ia bukan saja bermakna Muhyiddin dipasung daripada segala kegiatan parti, malah tidak mungkin dipilih lagi bertanding sebagai calon BN di Pagoh dalam pilihanraya nanti serta kehilangan pengaruh untuk terus mengekalkan jawatannya dalam UMNO.

Dalam erti kata lain, Najib dan UMNO ketika ini amat menyedari parti bukan saja sedang berpecah, tetapi juga mengalami defisit sokongan daripada rakyat. Tindakan yang berlebih-lebihan kepada Muhyiddin dan mereka yang berani membuat teguran, terutama berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta,  pasti akan memburukkan lagi keadaan.

Bagaimanapun, kiranya tiada tindakan diambil, ia akan berterusan memberi gangguan dan ketidakselesaan kepada Najib dalam memperkuatkan dirinya. Muhyiddin tentu saja akan terus bercakap dan mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan Najib dan ini menyebabkan rakyat serta ahli UMNO tertarik untuk membuat perbandingan antara kedua mereka.

Oleh itu, menyingkirkan Muhyiddin memang tidak dapat dielakkan bagi memberi keselesaan kepada Najib. Dalam hal ini, Najib juga dikatakan mendapat sokongan penuh daripada Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk tindakan penggantungan terhadap Muhyiddin itu diteruskan.

Sokongan Zahid kepada penggantungan Muhyiddin tidak saja demi keselesaan kepada Najib menguruskan parti, tetapi juga untuk kemudahan kepadanya melonjakkan diri jika ditakdirkan Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan dan mengalah kepada tekanan rakyat yang pasti akan terus meningkat berikutan Tun Mahathir kian menunjukkan isyarat untuk lebih agresif memberi asakan.

Selain dapat memperkukuh kesetiaan kepada Najib, Zahid dalam hal ini turut sedang menahan lukah untuk kepentingannya sendiri.

Sama ada pecat atau gantung, selain kesannya sama kepada Muhyiddin, ia juga tetap merupakan kejayaan bagi Najib dalam mengenepikan musuhnya itu setelah memecatnya sebagai timbalan perdana menteri sebelum ini.

Yang berbeza, pemecatan menunjukkan Najib seorang yang berani dan sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan di masa hadapan, sesuai dengan madah Bugis yang selalu dilafazkannya, manakala penggantungan pula umpama tindakan "pondan" kerana masih cuba berselindung dan berlagak baik serta toleransi sedangkan kesannya tidak berbeza sama sekali.

Cumanya, janganlah sampai Najib terlebih ghairah sehingga mengambil tindakan pemecatan dan penggantungan secara serentak kepada Muhyiddin pada 9 September nanti...maklumlah hanya Pahlawan Bugis dalam dunia ini yang pernah mengembangkan layar dan melabuhkan sauh kapal dalam masa yang sama.

Tiada ulasan: