"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pendebat terbaik Asia 'sekolahkan' anak Zahid Hamidi

Kenyataan anak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung hak bersuaranya mengkritik peserta perhimpunan BERSIH 4 "ditegur" seorang pendebat terbaik Asia.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 23, pelajar jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengambil kesempatan 'menyekolahkan' Nurulhidayah berkaitan hak bersuara.

Syed Saddiq berkata, beliau menghormati hak kebebasan untuk bersuara yang dinyatakan Nurulhidayah.

Namun, beliau berpendapat hak itu sepatutnya diberi sama rata kepada semua tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Saya lihat hanya sesetengah pihak sahaja yang boleh bersuara terutamanya hanya golongan atasan, elit di Malaysia diberi hak bersuara tetapi rakyat tidak diberi hak.

"Saya nak jelaskan, walaupun kita ada pandangan yang berlainan tetapi pada akhirnya kita memperjuangkan perkara yang sama iaitu kebebasan hak untuk bersuara," katanya dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, beliau yang juga pensyarah sambilan dalam subjek pengucapan awam dan debat di UIA berpandangan, semua pihak termasuk setiap parti politik juga perlu diberi hak sama rata untuk bersuara.

"Saya cakap ini bukan untuk berpolitik, tetapi kita perlu adil. Hanya sesetengah pihak boleh suarakan pendapat. Contohnya di UIA, hanya kerajaan saja boleh (masuk dan berucap) tetapi pembangkang tak boleh.

"Kita kena adil, berucap bukan perkara yang eksklusif tetapi perlu inklusif," katanya yang baru dilantik sebagai salah seorang Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi mewakili pemimpin belia.

Syed Saddiq, anak kedua dari empat beradik, itu mendapat anugerah pendebat terbaik Asia semasa mewakili UIA dalam Kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC) di Bali, Mei lalu.

Malah, pasukan debatnya juga menempatkan universiti Islam itu di tempat ke-10 daripada 440 pasukan semasa Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) ke-35.

Tulisan jadi viral

Nama Syed Saddiq menjadi viral selepas beliau menulis status di Facebooknya yang dilihat mengkritik kembali kenyataan anak perempuan naib presiden Umno itu.

Antara yang ditulis Syed Saddiq ialah:

"Saya menghormati hak anda (Nurulhidayah) untuk bebas bersuara. Saya harap anda akan hormati hak kami juga. 500,000 rakyat Malaysia yang menghadiri BERSIH juga mempunyai hak mereka untuk bersuara, tetapi perhimpunan aman itu diisytiharkan sebagai haram.

"(Seramai) 1.3 juta penjawat awam Malaysia juga mempunyai hak untuk bersuara, tetapi mereka diancam dengan tindakan tatatertib. Pekerja Malaysia di Sarawak Report dan The Edge juga mempunyai hak untuk bebas bersuara tetapi suara mereka ditindas dengan larangan yang dikenakan kerajaan.

"(Pemimpin pembangkang) Tony Pua dan Rafizi Ramli juga mempunyai hak untuk bebas bersuara tetapi mereka "ditampar" dengan larangan untuk ke luar negara sewenang-wenangnya.

"Tun Mahathir (Mohamad), bekas perdana menteri kita yang terkenal juga berhak dengan kebebasan bersuara, tetapi beliau di panggil untuk disiasat kerana bercakap bagi pihak rakyat," kata Syed Saddiq.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, sebagai warganegara Malaysia beliau bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan hak rakyat untuk terus bebas melahirkan pandangan.

"Hak bebas bersuara adalah sesuatu yang suci yang merupakan jelmaan sesebuah masyarakat yang bebas dan demokrasi. Perbezaan pendapat saya dengan kenyataan anda tidak menghalang anda daripada mengakses "hak" anda.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan hak anda untuk bersuara. Ia hak anda, dan hak kami. Ia hak rakyat Malaysia selama-lamanya. Mari kita mempertahankannya bersama-sama," tulisnya lagi.

BERSIH 4 kerja bodoh, kata Nurulhidayah

Sebelum ini, Nurulhidayah dikecam oleh orang ramai di laman sosial berikutan kenyataannya yang menyifatkan perhimpunan BERSIH 4 sebagai 'kerja bodoh'.

Ekoran itu, melalui akaun Instagramnya, anak perempuan timbalan perdana menteri itu mempertahankan dirinya dengan berkata, beliau bukan wakil rakyat tetapi hanya seorang warganegara Malaysia yang mempunyai hak untuk bersuara.

“Saya bukan ahli Parlimen di kawasan anda ataupun wakil rakyat anda. Saya warganegara Malaysia yang juga ada hak bersuara.

“Saya tidak menyentuh perkauman atau bangsa. Saya cuma pertikaikan kewarasan segelintir anda yang tidur di jalanan kononnya untuk menyatakan kebenaran," tulis Nurulhidayah.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: