Mohammad Agus Yusoff
Tidak habis saya fikir, kenapa apabila berlaku kekecohan dalam politik Melayu, baik itu dalam UMNO atau PAS, maka DAP, LGBT, dan kaum Cina yang dipersalahkan?Pada saya, cukuplah kita menyalahkan kaum lain dengan masalah yang kita hadapi. Takkanlah masalah politik UMNO dan PAS hari ini adalah disebabkan oleh DAP dan kaum Cina?
Sepatutnya, jika kita orang Melayu bergaduh, kita muhasabah diri dan bertanya—apa puncanya? Adakah itu kerana terlalu mengejar kuasa, menjaga kuasa, memburu kekayaan, terlalu berpuak, atau adakah kerana terlalu sombong dan angkuh?
Selepas itu, tanya lagi diri kita. Sudah cukupkah kita membantu orang Melayu? Sudah cukupkah tindakan yang kita buat untuk menyatukan politik Melayu?
Dalam kita mencari jawapan kepada pertanyaan di atas, elakkanlah dari terus bersikap denial syndrome dengan hanya menyalahkan kaum lain. Lihatlah pada integriti kita, komitmen kita dan perancangan kita dalam menyelesaikan masalah Melayu.
Yang perlu sekarang ialah kita memahami keresahan rakyat. Cukuplah kita melihat masalah politik orang Melayu sekarang dari aspek polarisasi kaum.
Yakinilah, masalah kita tidak akan selesai jika sikap dan pemikiran kita tidak berubah. Dan ini harus dimulakan oleh pemimpin kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan