Himpunan Bersih 4 dianjur kerana cemburu Najib satukan Fatah-Hamas
Penganjuran himpunan Bersih 4 hujung minggu lalu dikatakan berpunca daripada cemburu dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatupadukan puak Islam Hamas dan Fatah di Palestin.
Tindakan penganjur Bersih 4 menganjurkan perhimpunan haram dan sengaja menimbulkan huru-hara pada minggu lalu adalah kerana cemburu dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatupadukan puak Islam Hamas dan Fatah di Palestin, lapor Utusan Malaysia.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir (gambar, kiri) dilaporkan akhbar itu berkata, perkara itu jelas apabila Bersih 4 juga cemburu dengan kejayaan Najib mendamaikan orang Islam di selatan Filipina.
"Ketenteraman dan keselamatan negara yang dijamin oleh pihak polis dan tentera ini turut memberi nilai tambah kepada aktiviti perdagangan apabila para pelabur yakin menjalankan perniagaan di sini.
"Justeru, pihak penganjur Bersih 4 sepatutnya tidak menjejaskan keamanan sedia ada ini dan berterima kasih dengan pemimpin sedia ada, malah kerajaan juga tidak pernah memilih bulu dalam menghulurkan bantuan," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno itu.
Izat berkata, penganjur sepatutnya menghargai dan memelihara kemakmuran negara dengan tidak melakukan perkara buruk hingga mencemarkan imej Malaysia kepada pihak luar.
Katanya, ahli Umno wajib meneruskan perpaduan sedia ada dengan menyokong kepimpinan parti yang jitu dan padu untuk menentang segala tuduhan dan sangka buruk.
Tujuh penganjur Bersih 4 termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah semalam dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung himpunan 2 hari pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 120, Seksyen 124C dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan rancangan untuk melakukan suatu kesalahan, cuba menimbulkan dan mengganggu gugat demokrasi berparlimen serta mengadakan himpunan haram.
Maria ketika disoal polis juga enggan mendedahkan derma RM2.4 juta yang diperolehinya untuk menganjurkan himpunan menuntut Najib meletakkan jawatan.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan