"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesanan buat DAP : Berhati-hatilah keluar kenyataan

Mohd Azhar Abd Rahman
Sejak dari awal penubuhan Pakatan Rakyat selepas gabungan parti PAS, DAP dan PKR mendapat kemenangan untuk menubuhkan kerajaan di beberapa buah negeri yang dimenangi, rata-rata masyarakat melayu tertanya-tanya bagaimana PAS dan DAP yang berbeza ideologi dapat memperbaharui hubungan mereka yang menemui kegagalan semasa barisan alternatif menjadi penyatu mereka suatu ketika dahulu.

Paling ketara adalah di negeri Perak. Dalam PRU ke-12, PR berjaya memenangi 31 daripada 59 kerusi DUN dan berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Walaupun majoriti Adun PR adalah daripada DAP, namun ADUN Pasir Panjang daripada PAS, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin dipilih dan disepakati untuk diangkat sebagai Menteri Besar manakala DAP pula memegang 6 jawatan exco. Ketika itu, Umno memainkan sentimen MB adalah boneka DAP. Persepsi itu dicanang di seluruh negeri Perak.

PAS melalui Nizar terpaksa bekerja keras menangkis persepsi tersebut. DAP melalui pimpinanannya juga memainkan peranan aktif meyakinkan rakyat Perak kerajaan yang ada adalah kerajaan untuk semua. Sehinggakan wakil rakyat mereka mengeluarkan petikan ayat-ayat Al-Quran dalam siri-siri ceramah mereka supaya masyarakat melayu boleh menerima kerajaan yang ditubuhkan. Paling popular ayat yang dipetik adalah dari Surah Al-Imran ayat-54

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
yang bermaksud

"Kita merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang”

merujuk kepada kemenangan yang tidak disangka-sangka PR Perak.

Pendekatan itu sedikit sebanyak membuatkan gundah gulana yang melanda pengundi melayu pada ketika itu kian reda. Persepsi Nizar sebagai boneka bertukar menjadi Nizar berjaya menyampaikan mesej Islam kepada DAP.

Hubungan DAP dan Islam yang dibawa PAS pada ketika itu semakin harmoni. Adun-adun DAP masuk ke kampung-kampung berpakaian baju melayu dan bersongkok manakala wakil rakyat PAS pula mengunjungi rumah-rumah ibadat masyarakat Hindu dan Buddha membawa mesej perpaduan.

Kesepakatan tersebut berterusan sehinggalah terjadinya peristiwa keluar parti. Tiga ADUN daripada PR memusnahkan Kerajaan PR apabila mereka mengisytiharkan menyokong Barisan Nasional sekali gus mengembalikan majoriti mudah kepada BN.

Insiden ini memberi kesan yang cukup besar kepada seluruh rakyat negeri Perak tetapi tiada pula fatwa haram menjatuhkan kerajaan daripada mufti negeri pada waktu itu seperti mana pantasnya fatwa dikeluarkan beliau pada hari ini.

Namun dari tahun ke tahun keharmonian ini semakin terhakis terutamanya di peringkat nasional. Sesekali kelihatan PAS membidas kenyataan DAP dan tidak kurang juga lancangnya DAP membidas PAS. Kenyataan-kenyataan DAP kadang kala kelihatan terlalu mementing diri dan tidak hiraukan perasaan orang melayu. Bagi masyarakat melayu umumnya, perkara ini membawa mesej DAP memang besar kepala dan berpura-pura lunak dengan Islam selama ini.

Seringkali juga pimpinan DAP mengeluarkan ulasan-ulasan yang memberi peluru kepada Umno untuk menembak rakan sekutu dalam PR. Sentimen melayu Islam jika tidak diurus dengan baik memang akan merugikan rakan mereka terutamanya PAS. Inilah yang membawa kepada bibit-bibit perpecahan dalam PR. Sehinggalah berlaku perpecahan secara rasmi PAS dan DAP selepas usul muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas Jun lalu.

Saranan dan nasihat ini dikemukakan adalah bagi memastikan kesepakatan yang bakal dicapai dalam pembentukan PR 2.0 dapat melestari sokongan semua pihak dan bukan hanya sekadar mengekalkan kerusi-kerusi tradisi DAP dalam PRU akan datang.

Secara sedar atau tidak, dalam suasana hari ini, ramai ahli-ahli PAS, mereka yang berkeinginan untuk berpartisipasi dalam GHB dan mereka yang berada di atas pagar terutamanya orang melayu, memerhatikan tindak tanduk GHB dan DAP sebelum mereka membuat keputusan sama ada untuk bersama GHB ataupun tidak. Mereka bimbang apabila timbul isu berkaitan melayu Islam, mereka tidak dapat menjelaskannya kepada orang lain terutamanya rakan-rakan mereka yang masih berada di dalam PAS. Janganlah nanti dek kerana perangai DAP, GHB terpaksa menanggung defisit sokongan dari kalangan orang melayu.

DAP seharusnya mencontohi kebijaksanaan pimpinan-pimpinan GHB dalam menyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Setiap perkara yang timbul, meskipun melibatkan isu masyarakat bukan melayu, mereka tetap dengan prinsip menjaga hati semua pihak. Mereka harus bersyukur kerana adanya pimpinan seperti Khalid Samad dan Mujahid Yusof Rawa yang seringkali menjadi penyelamat kepada DAP.

Berbeza dengan DAP, pimpinan-pimpinannya terlalu vokal untuk mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan untung rugi rakan-rakan yang lain. Sebaiknya mereka mengambil langkah cermat dan berhati-hati supaya susunan patah perkataan yang dikeluarkan menjurus kepada penyelesaian bukan provokasi ataupun keegoan. Belajarlah dari Pak Samad untuk memilih tutur kata yang sesuai bagi menyatakan pandangan.

DAP seharusnya memikirkan satu pelan jangka panjang bagi menarik semula sokongan pengundi melayu. Mereka tidak boleh hanya bergantung kepada Dyana Sofea ataupun Rara untuk memberi mesej “undilah DAP, DAP ada melayu”. Mereka seharusnya mengatur strategi bersama rakan yang lain untuk menanam keyakinan terhadap masyarakat melayu DAP dan rakan sekutunya boleh menjaga semua masyarakat di Malaysia. Tetapi janganlah selepas usaha dibuat, terdapat kenyataan-kenyataan liar dan mengguris hati orang melayu. Mungkin Sheikh Omar, anak muda hasil tarbiyah PAS dapat membantu DAP dalam memahami sentimen orang melayu Islam.

Justeru, DAP harus membuat pengislahan. Diharapkan Lim Kit Siang dan rakan-rakannya dapat memperbaharui tindakan dan pendekatan DAP sekembalinya mereka dari Tunisia nanti.
-detikdaily-

Tiada ulasan: