"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Pindahan wang 1MDB ke akaun pemimpin Pas dalam siasatan SPRM

HUSEIN MAHAT
Pindahan wang dari akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke akaun tokoh yang rapat dengan pemimpin Pas sudah pun dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ianya bersumberkan dana 1MDB, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, beliau tidak perlu menyerahkan bukti kepada SPRM dengan kadar segera kerana kertas siasatan berhubung perkara tersebut telah pun dibuka.

"Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang.

"Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas itu," jelas beliau.

Bagaimanapun Rafizi memberi jaminan akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu lagi dan laporan SPRM juga akan dibuat bagi suruhanjaya terbabit merujuk kembali kertas siasatan sedia ada.

Naib Presiden PKR itu juga yakin, pemimpin Umno akan bergelut dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul SPRM.

Beliau turut menasihati para pemimpin Pas di semua peringkat supaya menyemak sama ada pernah menerima bantuan kewangan, derma, infak atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang bakal dinamakan itu kerana kemungkinan besar ia bersumberkan wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB.
"Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin Pas perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui)," tegas beliau.

Beliau mengakui tidak berniat menimbulkan isu ini tetapi episod pembentangan usul Rang Undang-undang Akta 355 di Parlimen semalam mengesahkan bahawa isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Datuk Seri Najib Razak.

"Setelah ditangguhkan tiga kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh Pas melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambah baik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Datuk Seri Najib dan Pas menunjukkan Datuk Seri Najib tidak berniat pun untuk menambah baik mahkamah syariah," katanya.

Beberapa pemimpin parti komponen BN semalam termasuk Presiden MIC Dato’ Seri S Subramaniam mengakui penangguhan perbahasan mengenai usul RUU 355 telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN dengan ahli parlimen Marang hanya diberi ruang membentangkan usul itu di Dewan Rakyat.

Rafizi menambah, isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan Pas kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB.

"Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin Pas sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Datuk Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

"Oleh itu selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Datuk Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan Pas," ujarnya.

Menurut Rafizi, setelah bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan seperti semua rang undang-undang yang lain, beliau kini yakin Pas akan terus 'dipegang' perdana menteri selagi isu RUU355 ini berpanjangan.

"Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggung jawab saya berdepan terus dengan Pas dan Umno sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan," ujarnya.

Tiada ulasan: