"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa kerajaan Barisan Nasional janjikan dengan Parti Komunis China?

Apa kerajaan Barisan Nasional janjikan dengan Parti Komunis China?
ARIF ATAN
Mesyuarat Meja Bulat antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Komunis China (PKC) pada 7 Disember dilihat susulan daripada pertemuan kedua-dua pemimpin parti pemerintah di negara masing-masing sejak tujuh tahun lalu.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mendedahkan Umno melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PKC seawal 4 Ogos 2010.

Urusan kemasukan warganegara China ke Malaysia sebagai pelancong, pelajar dan pemastautin juga dilihat dipermudahkan hasil pertemuan pemimpin Umno dengan pemimpin PKC tahun lalu melalui pelaksanaan sistem pengeluaran visa secara elektronik, E-visa dan program pengecualian pembayaran visa.
Bakal menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi sektor ekonomi di negara ini yang dibangunkan pemodal dari negara mereka sekali gus dibimbangi menjejaskan hak rakyat tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kerajaan China menerima kesemua cadangan Malaysia itu dalam pertemuannya dengan Menteri Keselamatan Awam, Guo Shengkun dan mesyuarat bersama Setiausaha Pusat, Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang, PKC, Meng Jianzhu pada Februari 2016.

Pada masa sama, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN beberapa kali mendakwa Malaysia akan mendapat manfaat besar hasil daripada pelaburan dan projek daripada “One Belt One Road” (OBOR) oleh China yang pertama kali disebut Presiden, Xi Jinping pada September 2013.

Gagasan satu wilayah satu jalan itu menyaksikan China berhasrat untuk membina laluan bersepadu merangkumi jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di negara yang bersempadan dengan wilayahnya.
Peta laluan HSR Kuala Lumpur – Singapura.

Ekoran itu, pemberian kontrak dan penjualan aset strategik milik negara kepada syarikat-syarikat milik kerajaan China menyaksikan trend yang semakin ketara ketika Malaysia terus dibebani hutang mencecah RM685 bilion pada suku kedua 2017.

Hal ini termasuklah kesediaan China memberi hutang dalam kuantiti besar melalui pinjaman mudah kepada Malaysia bagi sejumlah projek mega antaranya projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Majlis pecah tanah projek yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Tumpat, Kelantan sepanjang 688 kilometer pada 9 Ogos lepas itu turut menyaksikan kehadiran Ahli Majlis Negeri China, Wang Yong selaku wakil khas Xi Jinping; pegawai kanan kerajaan China serta pemegang kepentingan projek tersebut.

Serentak itu, China dilihat turut mengukuhkan rangkaian pertahanan dan pengangkutan lautnya melalui minat republik itu dalam projek pembangunan pelabuhan laut dalam di Melaka Gateway, Pulau Melaka membabitkan dua syarikat pelabuhan terbesar China dengan pelaburan mencecah RM8 bilion.
Melaka Gateway menyaksikan pelaburan China berjumlah RM8 bilion.

Projek Taman Perindustrian Maritim dan Taman Perindustrian Guangdong-Melaka bagi pengeluaran barangan pengguna elektrik selain pembinaan sejumlah kawasan guna tanah bagi tujuan perdagangan dan perniagaan juga dipersetujui pada pertemuan antara kerajaan negeri Melaka dan Wilayah Guangdong pada 21 September 2015.

Bahkan dua tahun sebelum itu, pelaburan China mulai tertumpu di Kuantan pada ketika republik tersebut galak dengan tuntutan terhadap sebahagian besar laluan perdagangan antarabangsa di Laut China Selatan.

Di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, Kuantan, pelaburan China melibatkan pembinaan kilang besi, kilang aluminium dan loji penapisan minyak sawit selepas pemeteraian perjanjian yang turut disaksikan Najib pada 5 Februari 2013.

Najib pada ketika itu juga mengumumkan Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd akan bekerjasama dengan IJM Corporation Berhad bagi projek pembesaran Pelabuhan Kuantan merangkumi pembinaan terminal laut dalam yang baharu dengan kos pelaburan menelan lebih RM3 bilion.
Projek Bandar Malaysia menyaksikan hasrat China untuk membina bandar bawah tanah terbesar di dunia.

Namun, penguasaan 49 peratus syarikat milik kerajaan China itu dalam MCKIP serta pegangan 40 peratus dalam Pelabuhan Kuantan mengundang kebimbangan tentang aspek keselamatan dan kedaulatan negara ini.

Akhir 2015 juga menyaksikan loji-loji penjanaan elektrik Edra Global Energy, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijual kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) dengan harga RM9.8 bilion walaupun penjana bebas itu dibeli daripada pemilik tempatan dengan harga RM12 bilion.

Seterusnya, 1MDB pada Mac 2016 telah menjual 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia, iaitu tapak lapangan terbang lama Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kepada syarikat usaha sama Malaysia dengan China Railway Construction Engineering (CREC).

Bandar Malaysia seluas 197 hektar yang akan menjadi pusat rangkaian kereta api dalam pelan besar-besaran China melalui OBOR itu juga diuar-uarkan akan menyaksikan kemunculan bandar bawah tanah terbesar di dunia.

Pentadbiran Najib juga dilihat terlalu bergantung kepada pinjaman dana dari China bagi projek raksasa lain seperti pusat kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX) seluas 28 hektar di tengah-tengah ibu negara serta projek Forest City merangkumi 1,370 hektar di Johor dengan pelaburan berjumlah RM450 bilion.

Perkembangan kerjasama dua hala BN dengan PKC turut diperkukuh melalui komitmen Persatuan Cina Malaysia (MCA) sebagai parti komponen rejim pemerintah itu dalam langkah meningkatkan apa yang dipanggil sebagai perkongsian di semua peringkat.

Buktinya, Ahli Jawatankuasa Pusat PKC, Song Tao yang juga Menteri di Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat PKC dilapor amat menghargai usaha MCA membantu memperkukuhkan kerjasama antara China dengan Malaysia.

Pertemuan Song dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tahun lalu itu yang dilaporkan akhbar milik MCA, The Star pada 6 April 2016 berkaitan inisiatif China yang dikenali sebagai Jajaran Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21.

Kemuncak siri pertemuan pemimpin BN dan PKC arkhirnya menyaksikan 14 MoU Malaysia – China ditandatangani pada 1 November 2016 membabitkan sektor pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan.

Tiada ulasan: