"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengantin ditahan, cederakan polis di majlis kahwin

Bernama
Pengantin lelaki itu bertindak membaling gelas ke arah pegawai polis yang cuba menahan rakannya di majlis perkahwinan.

Rozi-JidinALOR SETAR: Seorang lelaki yang baharu melangsungkan perkahwinan ditahan polis selepas cuba menghalang dan mencederakan seorang pegawai polis yang mahu menahan seorang lelaki berumur 38 tahun ketika majlis perkahwinan di sebuah hotel malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian pukul 10 malam itu, pengantin lelaki berumur 35 tahun itu bertindak membaling gelas ke arah pegawai polis berusia 30-an yang ketika itu sedang menjalankan tugas “Ops Cantas” bagi menahan rakan pengantin itu di hotel terbabit.

“Semasa hendak melakukan tangkapan, pegawai polis itu telah menunjukkan kad kuasanya namun sekumpulan seramai 30 hingga 40 lelaki menghalang beberapa anggota polis lain dengan melakukan tolakan.

“Ketika itu seorang lelaki yang mengaku sebagai pengantin terus membaling gelas minuman ke arah pengawai polis sehingga menyebabkan suspek yang mahu ditahan itu mengambil kesempatan melarikan diri melalui pintu belakang hotel,” katanya dalam satu kenyataan.

Rozi berkata akibat dibaling gelas itu, pegawai polis berkenaan mengalami kecederaan di tangan kiri namun keadannya tidak serius.

Beliau berkata bagi mengelak berlaku kekecohan yang lebih besar, pihaknya bagaimanapun tidak menahan pengantin tersebut pada majlis berkenaan, sebaliknya ditahan di rumahnya pagi tadi dan sebelum itu pegawai polis tersebut telah membuat laporan sejurus insiden itu.

“Polis kemudiannya menahan pengantin tersebut di rumahnya di Taman Sri Ampang dan ketika tangkapan hendak dilakukan, berlaku sedikit kekecohan dan polis terpaksa meminta bantuan dari MPV (Unit Kereta Peronda) dan URB (Unit Rondaan Bermotosikal),” katanya.

Menurutnya semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan dan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Rozi berkata polis yang mahu menahan rakan pengantin itu kerana mempunyai beberapa kesalahan lampau antaranya Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Kesekaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam, Johor.

Tiada ulasan: