"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jeming sedia 'rempuh' Nik Amar di DUN Panchor

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan, sedia menyahut cabaran untuk mendepani Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya, jika itu arahan dan hasrat kepimpinan parti, dia menerima tanggungjawab tersebut dengan hati terbuka.

"Jika AMANAH Kelantan dan kawasan bersetuju dengan cadangan ini, saya akan menumpukan perhatian di Dewan Undangan Negeri Panchor bagi memenangkan AMANAH Kelantan.

"Saya akan berkerja untuk menang dan saya yakin peluang tetap ada," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming dicadangkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, sebagai calon di Panchor tersebut.

Sebagai rekod, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mempertahankan kerusi tersebut sejak 2004.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau menewaskan calon BN, Che Rosli Hassan dengan majoriti 5,036.

Panchor terletak di bawah kawasan parlimen Pengkalan Chepa yang memang menjadi kubu kuat PAS.

Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan berkata, Hazmi mempunyai kekuatan tersendiri dan boleh menggunakan pengaruh ayahnya yang aktif dalam PAS sebelum ini.
"Ayah Jeming ialah bekas setiausaha PAS Pengkalan Chepa, bekas pegawai khas kepada tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cuma beliau belum isytihar masuk AMANAH.

"Tetapi kalau Jeming jadi calon HARAPAN di Panchor, saya yakin ayahnya boleh menggunakan pengaruh beliau di Panchor," katanya.

Sementara itu, Hazmi berkata, dia yakin - seperti Husam - bahawa Mohd Amar boleh dikalahkan dengan kerjasama semua pihak dan dengan izin Allah.

"Cadangan Datuk Husam ini satu penghargaan kepada anak muda, itulah bukti bahawa AMANAH sebuah parti yang meraikan perjuangan orang muda.

"Saya juga menanti respon Mohd Amar, adakah beliau akan meramalkan keputusan PRU14 di Panchor dengan mengatakan saya akan kalah dan hilang deposit seperti pernah diucapnya sebelum ini," jelasnya yang juga bekas aktivis PAS Kelantan.
-malaysiakini

Tiada ulasan: