"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fadhlina saman Ahli Parlimen Jasin, Harakahdaily

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan beliau mahu memelihara maruahnya dan menghentikan fitnah, menerusi tindakan mengemukakan notis tuntutan terhadap Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail serta Harakahdaily.

Tindakan diambil susulan kenyataan wakil rakyat PAS itu yang disiarkan dalam artikel disiarkan Harakahdaily bertarikh 6 Nov di bawah tajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir Di Sekolah?”.

Fadhlina berkata tiada arahan secara langsung melarang takbir dan qunut nazilah menerusi pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Menurutnya, sebagai orang Islam beliau tahu situasi terbaik dan tindakan melabelnya sebagai munafik secara terbuka adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

“Walaupun telah dijelaskan berkali-kali yang KPM tidak mengeluarkan arahan menghalang takbir dan qunut nazilah di sekolah namun fitnah ini terus tersebar

“Tujuan saman ini untuk memelihara maruah saya dan membersihkan fitnah yang tersebar,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sehingga kini tiada usaha untuk meminta maaf atau menjelaskan perkara sebenar dari pihak membuat dakwaan itu.

Menerusi surat tuntutan yang dikemukakan semalam melalui firma guaman Tetuan Ibrahim & Fuaadah itu, Zulkifli dan Harakahdaily diberikan tempoh 48 jam supaya menarik balik artikel berkenaan.

Artikel tersebut berhubung dakwaan ada arahan dikeluarkan oleh menteri pendidikan supaya takbir dan bacaan doa Qunut Nazilah tidak dibenarkan semasa penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah di seluruh negara.

Mereka juga diminta memberi akujanji dan jaminan secara bertulis tidak akan menyiarkan lagi apa-apa kenyataan fitnah terhadap Fadhlina.

Fadhlina turut menuntut kedua-duanya membayar RM500,000 sebagai ganti rugi kerana menjejaskan reputasinya susulan penyiaran artikel fitnah berkenaan.

Minggu Solidariti Palestin diadakan pada 29 Okt hingga 3 Nov lalu sebagai tanda prihatin terhadap nasib penduduk di Gaza yang terjejas susulan serangan tentera Israel.

Tiada ulasan: