"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua aset Aman Palestin hasil seleweng RM70 juta bakal disita

HarapanDaily.com

Semua aset Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), dipercayai diperolehi hasil penyelewengan RM70 juta dana orang awam bakal disita.

Lapor BH memetik sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengenal pasti aset terbabit.

Menurut sumber itu lagi, SPRM buat masa ini belum lagi mengambil keterangan ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 11 saksi sudah dirakam keterangan oleh SPRM,” katanya.

Sumber berkenaan juga mendakwa sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin Berhad.

“Dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya merupakan akaun membabitkan tujuh individu,” katanya.

Semalam, SPRM mengesahkan membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 sehingga semalam.

Tindakan itu dilakukan selepas siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penggeledahan turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut turut dirakam.

Siasatan awal mengenalpasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Kes membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula beroperasi pada akhir 2004 itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tiada ulasan: