"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Selamatkan Gaza', pesanan terakhir wartawan sebelum terbunuh

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
RAKAN dan ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada dua wartawan Hasouna Salim (gambar kecil) dan Sari Mansour yang terbunuh dalam serangan Israel malam tadi. FOTO Instagram Hani Abu Rezeq dan Abdalsalam alzawahreh
RAKAN dan ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada dua wartawan Hasouna Salim (gambar kecil) dan Sari Mansour yang terbunuh dalam serangan Israel malam tadi. FOTO Instagram Hani Abu Rezeq dan Abdalsalam alzawahreh
Kuala Lumpur: "Mesej kami kepada seluruh dunia, negara Arab dan negara Islam yang mendengar kami.

"Selamatkan Gaza. Gaza sedang berdepan pembunuhan beramai-ramai," demikian pesanan terakhir wartawan Palestin, Hasouna Salim sebelum terkorban semalam.

Hasouna bersama rakan media, Sari Mansour terbunuh selepas tentera rejim Zionis membedil kem Bureij, tengah Gaza malam tadi (waktu tempatan).

Pada sebelah siang, Hasouna sempat turun membuat liputan di kawasan itu dengan berkongsi rakaman bangunan musnah masih terbakar dan berasap selepas dibedil Israel.

Sebelum tragedi itu, menerusi rakaman video tular, Hasouna menyampaikan pesanan kepada dunia supaya bantu menghentikan segera keganasan dan peperangan berterusan di Semenanjung Gaza.

Katanya, dia membuat pesanan itu kerana tidak mengetahui lagi nasibnya kelak kerana pengamal media turut berisiko menjadi sasaran rejim Zionis ketika bertugas di lapangan.

"Saya tidak tahu sama ada saya boleh membuat satu lagi (video pesanan).

"Sebagai wartawan di Gaza, kita berisiko pada bila-bila masa untuk dibom contohnya tiga daripada rakan sekerja saya yang membuat liputan telah syahid.

"Sampaikan suara kami kepada masyarakat dan dunia kerana kami (wartawan) bersama orang awam, pasukan perubatan dan pertahanan awam semuanya menjadi sasaran dibunuh dan kini ramai cedera dan syahid," katanya.

Kata Hasouna, keadaan semakin sukar apabila setiap platform di media sosial turut diberi amaran atau dikenakan sekatan kerana menyuarakan realiti yang berlaku di Gaza ketika ini.

"Kami meneruskan perjalanan (sukar) dalam menyampaikan kebenaran.

"Kami melalui banyak perkara termasuk mendengar rayuan daripada orang ramai yang terpaksa berpindah dan memerlukan perlindungan selain doktor dan kakitangan perubatan serta pertahanan awam yang menjadi sasaran.

"Orang awam telah menjadi sasaran di hospital, sekolah, jalanan dan rumah. Ini pesanan kami kepada semua, selamatkan Gaza," katanya.

Menurut data dikeluarkan Pejabat Media Palestin setakat semalam, seramai 56 pengamal media terkorban sama ada semasa membuat liputan di kawasan konflik mahupun terbunuh ketika berada di rumah sejak konflik perang itu tercetus 7 Oktober lalu.

Selain pengamal media, serangan rejim Zionis turut mengorbankan kira-kira 200 anggota perubatan termasuk paramedik serta 22 anggota pertahanan awam.

Secara keseluruhannya, konflik yang memasuki hari ke-44 itu menyaksikan jumlah angka korban meningkat kepada 12,300 nyawa dengan lebih 30,000 mangsa lagi cedera.

Semalam, lebih 100 pengamal media di Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka sebagai tanda solidariti kepada rakan media yang mempertaruhkan nyawa dalam menyampaikan berita kekejaman Israel di Semenanjung Gaza.

Perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) itu disertai pengamal media daripada 26 persatuan serta agensi di Malaysia.

Tiada ulasan: