"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haaretz, akhbar Israel dedah Helikopter Israel tembak rakyat sendiri

Helikopter Israel tembak rakyat sendiri?

Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Baru-baru ini, akhbar Israel, Haaretz, membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa helikopter Tentera Pertahanan Israel (IDF) turut membunuh orang awam ketika menentang pejuang Hamas yang tiba di tapak festival muzik Nova, berhampiran dengan sempadan Gaza, pada 7 Oktober lalu. Ia adalah tarikh pejuang Hamas menyusup keluar dari Gaza dan melancarkan serangan mengejut di Israel.

Menurut akhbar itu, sumber memberitahu pihaknya bahawa siasatan ke atas insiden berkenaan menunjukkan sebuah helikopter tempur Israel yang tiba dari pangkalan Ramat David, menembak ke arah pejuang Hamas, tetapi turut menembak mati ramai orang awam yang menghadiri festival muzik itu. Kira-kira 364 orang terbunuh di sana, menurut polis Israel.

Sebelum ini, tentera Israel mendakwa Hamas melakukan serangan di festival muzik itu dan membunuh 260 warga Israel. Bagaimanapun, pendedahan Haaretz adalah dakwaan pertama bahawa tentera Israel membunuh rakyat mereka sendiri.

Artikel berkenaan, bagaimanapun, tidak menyatakan keadaan pengunjung yang terkena tembakan dilepaskan dari helikopter itu.

Haaretz turut melaporkan bahawa terdapat penilaian yang semakin meningkat dalam pertubuhan keselamatan bahawa pejuang yang melakukan pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober tidak mengetahui terlebih dahulu mengenai (festival muzik) Nova yang diadakan berhampiran Kibbutz Re'im'.

Mereka kemudian memutuskan untuk datang ke tempat itu selepas mendapati bahawa satu acara besar-besaran sedang berlangsung di sana.

Menurut akhbar itu lagi, pejuang Hamas pada mulanya hanya berniat untuk menyerang penempatan Israel di sekitar sempadan Gaza.

Menariknya, Agensi Anadolu, agensi berita rasmi Turkiye ada melaporkan dengan memetik laporan satu lagi akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, yang menyebut cabaran dihadapi tentera Israel ketika menentang pejuang Hamas di festival itu. Akhbar itu mendakwa tentera Israel 'mendapati sukar untuk mengenal pasti pejuang Hamas', sambil menambah bahawa juruterbang 'menggunakan artileri' terhadap orang awam pada festival itu'.

Laporan itu juga mengatakan bahawa pejuang Hamas diarahkan untuk bercampur dengan orang ramai untuk memperdayakan tentera udara supaya menganggap mereka sebagai penduduk Israel.

Susulan pendedahan Haaretz, polis Israel mengeluarkan kenyataan balas yang menceritakan sebaliknya. Dalam satu kenyataan menerusi The Times of Israel, polis berkata: "Tindakan IDF berada di luar bidang penyiasatan yang dibicarakan sumber itu". Ia juga mengarahkan saluran media lain untuk mengumpul maklumat daripada pegawai kerajaan sahaja.

Namun sebenarnya terdapat juga laporan media Israel sebelum ini pernah menuduh tentera Israel membunuh rakyat mereka sendiri. Penyiar Israel, KAN, melaporkan tiga warga Israel dibunuh oleh tentera Israel di Be'eri, termasuk dua kanak-kanak.

Menurut laporan itu, pejuang Hamas menahan warga Israel di rumah mereka. Apabila tentera Israel tiba, mereka tidak menyelamatkan sesiapa pun dan melepaskan tembakan kereta kebal, membunuh kedua-dua tawanan Israel dan pejuang Hamas.

Dalam satu lagi insiden serupa, pejuang Hamas dikatakan mengambil alih balai polis tempatan di Sderot (lokasi berhampiran Gaza) dan menahan polis Israel di situ. Tentera Israel dilaporkan memusnahkan balai itu dan membunuh kedua-dua pejuang Hamas dan polis Israel.

Sesuatu yang menarik juga adalah Israel pada mulanya menyatakan 1,400 orang terkorban di pihaknya.

Ia termasuk tentera, polis dan orang awam, yang dikatakan dibunuh pejuang Hamas susulan serangan pada 7 Oktober itu.

Namun, angka itu kemudian disemak semula dan ditetapkan pada 1,200 orang.

Menurut jurucakap Israel, Mark Regev, 200 mayat lagi sebenarnya adalah pejuang Hamas atau rakyat Palestin yang terbakar dengan teruk sehinggakan pihak berkuasa Israel tidak dapat mengenal pasti mereka. Oleh itu, mereka pada mulanya dianggap sebagai orang Israel.

Bercakap dengan MSNBC, penyiar yang berpangkalan di AS, Regev menyatakan:

"Kami pada asalnya berkata, dalam serangan Hamas yang kejam terhadap rakyat kami pada 7 Oktober, kami mempunyai 1,400 mangsa dan kini kami menyemaknya kepada 1,200 (orang) kerana kami faham yang kami melebih-lebihkan.

"Kami membuat kesilapan. Sebenarnya ada mayat yang terbakar teruk kami sangka mereka milik kami, akhirnya nampaknya mereka pejuang Hamas."

Ketika ini, tiada sumber rasmi kerajaan Israel yang mengakui dakwaan Haareetz ini.

Namun, semakan penulis setakat Khamis lalu mendapati, artikel asal mengenai dakwaan ini masih tersedia untuk dibaca di portal Haaretz.

Tiada ulasan: