"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu buat mesyuarat tergempar bincang pengumuman Muhyiddin

Shamz Johan & Alyaa Alhadjri

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini bagi membincangkan pengumuman presidennya Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.

Ketika memaklumkan perkara itu, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata dia senada dengan kehendak perwakilan yang mendesak Muhyiddin mempertimbangkan semula hasratnya itu memandangkan pemilihan parti hanya akan dilakukan tahun hadapan.

"Ia satu tempoh yang masih agak jauh, tentu dalam tempoh sekarang hingga proses yang akan diadakan tahun depan itu, pelbagai kemungkinan akan berlaku.

"Tan Sri (Muhyiddin) diperlukan untuk parti dan keyakinan para perwakilan ke pimpinan parti untuk dia terus menerajui parti adalah satu keyakinan yang nyata dan harus ditimbang semula olehnya,” katanya.

Menurutnya, pengumuman Muhyiddin itu merupakan satu kenyataan yang terlalu awal dan perwakilan juga memberi reaksi tidak bersetuju dengannya.

"Seperti saya katakan tadi, ia satu kenyataan terlalu awal yang dibuat oleh Tan Sri dan reaksi menunjukkan bahawa ia (hasrat Muhyiddin) tidak diterima oleh perwakilan.

"Kebetulan petang ini, kita akan mengadakan mesyuarat tergempar MPT bagi berbincang lanjut tentang hasrat Tan Sri untuk tidak ingin memimpin parti selepas pemilihan akan datang," katanya.

Jelasnya, bagi tempoh sekarang, parti itu masih memerlukan kepimpinan Muhyiddin kerana selain berjaya melahirkan ramai pemimpin, Ahli Parlimen Pagoh itu juga adalah imej dan simbol parti tersebut.

"Kita akui Muhyiddin berjaya melahirkan ramai pemimpin seperti (Setiausaha Agung Bersatu) Hamzah Zainudin dan beberapa orang lagi yang disebut sendiri oleh Tan Sri dalam siaran akhbar sebelum ini.

"Untuk tempoh sekarang, yang agak mencabar memerlukan imej kepimpinan yang lebih jelas, dia merupakan pemimpin yang diperlukan parti," katanya.

Tiada ulasan: