"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tok Mat, Khlir ‘berperang’ isu pencen tentera

Anne Muhammad 

KUALA LUMPUR: Perang mulut tercetus antara Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) dan Mohamad Hasan (BN-Rembau) di Dewan Rakyat berhubung isu penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera (ATM) yang berlarutan hampir 10 tahun.

Terdahulu, Khlir mendakwa sejak 2013 hingga kini, beliau tidak pernah mendengar mana-mana menteri pertahanan membawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kalau ada (menteri bawa ke Kabinet) bagitahu saya. Tapi saya tak pernah dengar lagi,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Mohamad yang juga menteri pertahanan sambil mempersoalkan bagaimana Khlir mengetahui beliau tidak pernah membawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ada bawa banyak kali,” katanya menggesa Khlir menarik balik tuduhan itu.

Khlir kemudian berkata hanya akan menarik balik tuduhan itu jika Mohamad benar-benar membawanya ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya bawa ke Kabinet, tuduhan tadi mengatakan saya tak bawa, tarik balik. Minta tarik balik, itu tuduhan bukan kenyataan,” katanya.

Khlir akhirnya akur dan menarik balik tuduhan itu.

“Saya kata kalau bawa okay, kalau tak bawa, bawalah…okay tariklah,” katanya.

Sementara itu, Khir mengingatkan kerajaan membuat penyelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013, mengikut Akta ATM 1972.

“Sudah lebih 10 tahun mereka tunggu penyelarasan pencen ini dilaksanakan kerana ini hak mereka dan wajib dilaksanakan kerajaan. Ingin saya ingatkan sekali lagi kepada Kementerian Pertahanan, bahawa veteran bukan tagih simpati kerajaan tapi tuntut hak mereka.

“Kerajaan berdosa kepada mereka kalau tidak menjelaskan hutang tertunggak sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: