"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Biarkan pendirian Pas berubah-ubah'

PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) menganggap Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak setia kepada negara.

Dakwaan itu berasaskan artikel Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sebuah portal baru-baru ini yang bertajuk “DAP tidak setia kepada negara.”

Dalam artikel tersebut Presiden Pas itu berpendapat, DAP membawa aliran baharu yang berlainan apabila menegaskan prinsip sekularisme dalam perlembagaannya yang membawa takrif agama mengikut bahasa penjajah daripada perkataan ‘religion’, bukan perkataan ‘al-din’.

Mereka ternyata menentang Perlembagaan Persekutuan yang menandakan ketidaksetiaan kepada negara dan menentang hukum uruf dalam Islam.

Menurut Abdul Hadi, hal ini ditegaskan lagi oleh sikap mereka menentang pelaksanaan Islam (untuk umat Islam sahaja) yang tidak ada kaitan dengan bukan Islam adalah melampaui batas kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“DAP melahirkan penentangan terbuka apabila membawa perubahan kembali kepada Islam yang sebenar bagi penganut Islam dan berani mahu menjadi penasihat kepada perkara Islam secara berlagak seperti penjajah dahulu.

“DAP juga membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang bertujuan melumpuhkan dan menghapuskan hak istimewa Melayu Islam dan Bumiputera.

Begitu juga dalam hal mendaulatkan bahasa kebangsaan.

“DAP tetap menggunakan bahasa kaum atau bahasa penjajah dalam semua penggunaan rasmi pentadbiran, politik, ekonomi, dan perjuangannya, sehingga berbeza dengan negara dunia lain yang mempertahankan bahasa kebangsaan masing-masing yang digunakan sepenuhnya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara."

Abdul Hadi turut mendakwa, DAP tidak menghormati kedudukan Raja Berperlembagaan apabila tidak menghormati pengurniaan pingat oleh raja-raja dengan menetapkan peraturannya sendiri, walaupun pada akhir-akhir ini menunjukkan sikap lebih bermuka-muka kerana tetap mempertahankan prinsip dan konsep perjuangan mereka yang tidak menghormati raja-raja.

DAP bersikap tidak setia kepada negara apabila menyanggah arus Perlembagaan Persekutuan yang menghayati perubahan ke arah kemerdekaan yang sebenar, dengan DAP mengekalkan saki-baki warisan penjajah yang bercanggah dengan agama dan bangsa serta budaya bangsa mereka sendiri, bukan sahaja semangat patriotik bernegara yang sebenarnya merdeka.

“DAP bukan sahaja mengekalkan tindakan meminggirkan Melayu Islam dari segi ekonomi, bahkan mengambil langkah politik menghilangkan hak kepimpinan Melayu Islam, walaupun orang Melayu yang beragama Islam paling tidak fanatik perkauman kerana kesan daripada ajaran Islam yang ada pada diri mereka,” kata Presiden Pas itu.

Sejak memutuskan kerjasama dengan DAP, bermacam-macam alasan dan tuduhan dilemparkan Pas kepada parti itu.

Abdul Hadi pada tahun lalu turut mendedahkan akibat sikap campur tangan terhadap dasar membabitkan Islam menjadi punca Pas menolak kerjasama dengan DAP.

Malah kerjasama dengan DAP itu dimuktamadkan susulan pergeseran mengenai beberapa isu yang gagal dipersetujui kedua-dua parti, antaranya hasrat untuk mengembalikan pilihan raya perbandaran yang dihapuskan selepas 13 Mei 1969.

Serangan dan bibit-bibit mencetuskan polimik perkauman ini membahayakan kestabilan negara yang masih bergelut dengan proses pemulihan sosio-politik dan sosio-ekonomi.

Kenapa perkara-perkara sensitif ini terus diputarkan sedangkan pilihan raya umum (PRU) untuk menentukan perubahan tampuk pemeritahan negara masih berbaki empat tahun lagi?

Cukup-cukuplah permainan politik adu-dumba dalam negara ini.

Banyak masa perlu ditumpukan untuk memulihkan ekonomi negara dan menangani masalah yang masih dihadapi rakyat berbilang kaum sejak wabak Covid-19 melanda.

Jika diimbau sejarah, Pas sendiri pernah ‘berpelukan’ dengan DAP dalam PRU 1999, 2008 dan 2013.

Hasilnya Pas beroleh kemenangan tertinggi dalam sejarahnya sendiri. Pas menganggap bahawa bersama DAP itu adalah anugerah ALLAH kepada Pas.

Tetapi apabila UMNO bersama DAP mereka tuduh pula, itu kafir.

Sedangkan dalam sejarah, UMNO tidak pernah bekerjasama dengan DAP melainkan selepas PRU-15.

Itupun melalui kerjasama Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan (PH) kerana maslahah menyelamatkan masa depan negara.

UMNO juga menerima kecaman yang hebat daripada Pas gara-gara arahan meminta ahli-ahlinya mengundi calon-calon daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.

Lantaran itu keluarlah bermacam-macam ‘dalil’ bagi menghasut ahli-ahli dan penyokong UMNO agar tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti.

Dalam keghairahan menghentam UMNO, Pas seolah-olah terlupa bahawa mereka sendiri terlebih dahulu tidur sebantal dengan DAP sebelum disertai Bersatu.

Malah, Pas pernah menjalinkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi sebanyak dua kali dengan DAP iaitu menerusi Gagasan Rakyat (1990 hingga 1996) dan Pakatan Rakyat (2008 hingga 2015).

Pemimpin-pemimpin Pas ketika itu bermati-matian mempertahankan tahaluf siyasi dengan DAP dalam kerangka PH walaupun dikritik oleh tokoh-tokoh agama.

Mereka juga berkempen meminta ahli-ahli dan penyokong Pas mengundi DAP dalam setiap pilihan raya yang ditandingi parti itu walaupun tidak dapat dipastikan sama ada penyokong DAP melakukan perkara yang sama di kawasan Pas.

Bahkan penyokong Pas sanggup bekerja keras menyumbang tenaga memacakkan bendera dan memasang poster calon-calon DAP.

Dalam hubungan serangan politik hari ini, tokoh yang banyak pengalaman sebelum ini bersama Pas iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa pemimpin dan ahli parti itu supaya kekal tenang dalam mendepani isu serangan terbaharu Pas terhadap DAP.

Mohamad, bekas timbalan presiden Pas dari 2011 hingga 2015 itu menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang tidak tetap pendirian.

Pas bersikap ‘talam dua muka’ dan hanya pandai mengambil kesempatan.

“Tatkala ketika bersama, mereka sentiasa memuji DAP yang dikatakan sentiasa menghormati perlembagaan dan hak-hak demokrasi.

Tetapi hari ini mereka memberi komen yang buruk kepada DAP.

Perkara ini perlu diabaikan oleh pendukung Amanah,” kata Mohamad menerusi satu kenyataan di hantaran Facebooknya pada Jumaat (26 Januari 2024).

Menurut Mohamad yang memimpin Amanah sejak lapan tahun lalu, jika Amanah memutuskan hubungan dengan DAP pada 2 petang, sejam berikutnya Pas akan segera menghulurkan tangan kepada DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan itu.

“Segala kecaman kepada DAP akan bertukar segera kerana bagi mereka ialah kekuasaan yang menjadi matlamat utama daripada segala-galanya.

Hal ini kerana Pas adalah parti yang boleh berubah sekelip mata,” katanya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mohamad mengingatkan kembali Pas yang bagaikan terlupa pertembungan parti itu dengan UMNO yang bukan sekadar isu-isu politik tetapi sanggup jatuhkan hukum sehingga melarang berimamkan dan memakan sembelihan ahli parti berkenaan.

Namun, katanya segala pertembungan itu diketepikan apabila kedua-duanya bekerjasama pasca PRU-14 untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai Amanah, PKR, DAP dan Bersatu.

Sehubungan itu, Mohamad berkata ahli Amanah perlu kekal tenang dan tidak perlu melayan sebarang ulasan berkenaan serangan Pas terhadap DAP.

Biarkan Pas dengan pendiriannya yang berubah-ubah mengikut situasi yang menguntungkan pihaknya.

Suatu masa pimpinan Pas mungkin perlu menjilat ludahnya kembali.

Rizal Manan, Kuala Lumpur

Tiada ulasan: