"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cuba ‘makan’ anak sendiri, lelaki Malaysia dipenjara 13 tahun

FMT Reporters

SINGAPURA: Seorang bapa berusia 38 tahun dihukum penjara 13 tahun dan 16 sebatan di sebuah mahkamah di Singapura, selepas mengaku salah cuba merogol anak perempuannya ketika mangsa baru berusia kira-kira empat atau lima tahun pada 2013.

Lelaki warga Malaysia itu bekas pekerja penyediaan makanan di sebuah hospital turut mempunyai tuduhan mencabul mangsa pada 2013, dan mengambil gambar kemaluan kanak-kanak itu ketika tidur pada 2020. Tiga tuduhan berkenaan diambil kira mahkamah dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya, menurut The Straits Times.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Pang Khang Chau juga mengambil kira usia mangsa yang terlalu muda ketika kejadian, kesan psikologi teruk terhadapnya, perancangan dibuat tertuduh dalam membuat kesalahan berkenaan, selain fakta bahawa tertuduh hampir berjaya merogol mangsa.

Dalam kejadian pertama, tertuduh dilaporkan cuba merogol mangsa ketika ibu kanak-kanak itu keluar bekerja dan meninggalkannya bersama dua adik lelaki dalam jagaan tertuduh. Tertuduh sekali lagi cuba merogol mangsa beberapa minggu kemudian, juga ketika ibunya tiada di rumah.

Menurut pendakwaan, kejadian seperti itu berlaku beberapa kali tetapi mangsa tidak dapat memberikan butiran tepat kerana usianya yang terlalu kecil ketika kejadian, selain tempoh yang telah lama berlalu.

Kanak-kanak itu hanya menyedari perbuatan bapanya salah selepas menghadiri kelas pendidikan seks ketika berada di Darjah 5.

Mangsa pada mulanya tidak mengadu kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang kawan-kawan akan membencinya, selain takut ibunya terpaksa menyara keluarga bersendirian sekiranya bapanya dipenjara.

Mangsa hanya mendedahkan perkara itu pada 2021 ketika berada di Tingkatan 1 menerusi hantaran di Instagram, selain menceritakan sendiri kepada sahabat baiknya. Dia turut mengakui perkara itu setahun kemudian selepas seorang guru yang melihat kesan kelar pada lengannya menyoal mengenai perkara itu.

Pihak sekolah dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keluarga seterusnya mengambil tindakan termasuk membawa mangsa untuk pemeriksaan, sebelum laporan polis dibuat pada 27 Jan 2022 yang membawa kepada tangkapan tertuduh pada hari sama.

Tiada ulasan: