Ili Aqilah
Pengumuman rasmi Lembaga Pengampunan berkaitan nasib Najib Razak - sama ada mendapat pengampunan diraja atau sebaliknya - tetap menjadi berita buruk bagi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Prof Azmi Hassan, berkata jika bekas perdana menteri yang dipenjara atas kesalahan rasuah itu dibebaskan, Anwar akan dipuji penyokong Umno.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu menambah Najib masih mempunyai sedikit pengaruh dalam parti.
Justeru kata Azmi pengampunan Najib pasti akan menggembirakan ahli akar umbi Umno terutamanya jika dia meneruskan karier politiknya.
“Jika beliau terus aktif dalam kancah (politik), sudah tentu ia akan menguatkan parti dan mereka akan mendapat lebih kepercayaan daripada pengundi Melayu dan Islam," katanya kepada Malaysiakini.
Pun begitu Azmi mengingatkan pembebasan Najib juga akan membuat pengundi PH menyalahkan Anwar bahkan mungkin tidak lagi selesa bekerjasama dengan Umno.
Begitu juga pandangan Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Prof James Chin yang percaya pengampunan diraja itu akan menyebabkan kerajaan hilang keyakinan dalam kalangan penyokong bandar yang tidak mahu melihat Najib dibebaskan.
Pengampunan Najib juga, kata Chin, akan menjejaskan reputasi kerajaan Malaysia.
Ketika imej negara semakin pulih daripada cara kerajaan menangani isu 1MDB, katanya, pengampunan Najib akan membuat orang ramai menganggap kerajaan sebaliknya tidak serius memerangi rasuah.
Faktor berkelakuan baik
Pada masa sama Chin mengingatkan walaupun mungkin terdapat bantahan terhadap pengampunan Najib, kesannya akan terhad kerana ia berada di bawah kuasa prerogatif Yang Di-Pertuan Agong.
"Sesetengah kumpulan Melayu mungkin akan melakukan bantahan, tetapi ia tak banyak," katanya.
Mengenai sama ada kerajaan persekutuan akan kekal utuh atau tidak jika Najib diizin meninggalkan penjara, Azmi percaya keadaan akan kekal status quo.
Hal itu kerana, Azmi berpendapat PH dan Umno mengakui realiti bahawa mereka saling memerlukan satu sama lain sebagai rakan politik.
Sementara itu, jika Lembaga Pengampunan tidak memberikan pengampunan sebaliknya mengurangkan tempoh pemenjaraan Najib, Chin percaya kemarahan dalam kalangan pengundi PH adalah minimum.
"Orang ramai di bandar akan marah, tetapi ia hanya untuk seketika," katanya.
Azmi pula percaya keputusan sebegitu akan menyediakan situasi menang-menang untuk semua orang.
Spekulasi berkaitan nasib Najib mencuri perhatian umum sejak awal minggu ini, lebih-lebih lagi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam mengesahkan Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Isnin.
Utusan kemudian melaporkan Najib mendapat pengampunan dan diizin bebas dari penjara. Bagaimanapun laporan yang memetik sumber itu kemudian ditarik balik.
Di tengah gesaan kerajaan supaya semua pihak menunggu kenyataan rasmi, agensi berita CNA hari ini pula melaporkan, tempoh hukuman Najib dikurangkan setengah.
Laporan itu turut memetik sumber yang tidak dinamakan.
Azmi berkata jika Najib akhirnya kekal di penjara, pengundi PH dan Anwar tidak akan marah, manakala penyokong Umno pula akan gembira kerana pemimpin mereka tidak perlu menunggu lebih lama untuk dibebaskan.
Dengan alasan berkelakuan baik, katanya, Najib juga mungkin boleh dibebaskan lebih awal daripad enam bulan.
Pun begitu Azmi mengingatkan reaksi daripada Umno tidak akan menggembirakan jika permohonan pengampunan Najib ditolak dan tempoh tahanannya dikekalkan.
Katanya lagi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula akan dipersalahkan bersama Anwar.
"Kesalahan mungkin diletakkan pada Ahmad Zahid kerana gagal meyakinkan Anwar dalam pengampunan Najib.
"Dia (Ahmad Zahid) juga akan dilihat cuba melindungi jawatannya dalam Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan