Harapandaily
NIK HASYUDEEN
Satu perkara yang saya amat takut di akhirat kelak ialah dituduh menzalimi orang yang kita tidak pernah jumpa dan mereka pun tak tahu kita menzaliminya.
Macamana ini boleh berlaku?
Sebagai contoh, dalam mana-mana proses bidaan, permohonan dan rayuan, akan ada individu atau pun jawatankuasa yang akan menilai dan membuat keputusan.
Keputusan yang dibuat tentunya kenalah berdasarkan prinsip dan merit yang ditetapkan terlebih dahulu.
Persoalannya, adakah kesemua keputusan dibuat di atas asas dan merit yang ditetapkan itu?
Sekiranya kita mengabaikan fakta dan merit dan membuat keputusan yang menyebabkan pihak yang layak gagal tetapi yang kurang layak berjaya, tentunya hak orang yang layak itu sudah terjejas.
Mungkin pihak yang layak tetapi gagal itu menyangka ada pihak yang lebih layak dan redha dengan keputusan kita.
Namun, adakah kita akan terlepas apabila dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak?
Pihak yang membuat keputusan pula mungkin berasa dia ada kuasa untuk membuat keputusan demikian.
Ini boleh terjadi dalam kes-kes yang melibatkan budi bicara secara mutlak.
Namun, kita kena ingat pada ketika dihisab oleh Allah, betul/salah, adil/zalim itu dikira mengikut piawaian Allah, bukannya apa yang kita tetapkan sesama kita di dunia ini.
Semalam, saya ada menyentuh berkenaan 2 daripada 3 qadhi yang masuk neraka.
Yang pertama masuk neraka kerana tidak membuat keputusan secara adil dan yang kedua kerana jahil di dalam tugasnya. Perhatikan hadis itu betul-betul, ianya tidak terhad kepada jawatan berkenaan sahaja.
Mungkin kita sudah biasa dengan isu keadilan di dalam membuat keputusan. Namun, bab kejahilan ini mungkin kurang dibincangkan dan diberikan perhatian.
Apabila kita tidak cukup ilmu dan kemahiran tetapi menerima jawatan yang lebih tinggi daripada kelayakan kita, jawatan berkenaan boleh menyebabkan kita membuat keputusan yang kita kurang arif mengenainya.
Kita berisiko masuk ke dalam skop masuk neraka kerana membuat keputusan secara jahil.
Contoh mudah ialah keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga pengarah syarikat.
Bukannya rahsia di antara kita ada orang yang dilantik bukan kerana merit tetapi kerana ada kedududukan lain yang diambilkira.
Ramai di antara spesis ini tidak faham pun tugas dan tanggungjawab mereka. Mereka hanya nak bayaran pengarah dan mahu syarikat menjalankan aktiviti-aktiviti CSR di kawasan mereka.
Jadi, jika mereka meluluskan apa-apa cadangan secara jahil dan ada cadangan-cadangan itu yang memberikan kesan negatif secara tidak adil ke atas orang lain yang mereka tak pernah jumpa dan kenal, adakah orang-orang yang tidak layak ini terlepas di akhirat kelak?
Susunan masyarakat moden ni macam piramid. Semakin tinggi kedudukan kita, semakin ramai orang yang akan terkesan dengan keputusan yang kita buat.
Jadi, kita kena berhati-hati agar keputusan kita sentiasa adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.
Kita mungkin ada punca kuasa dan hak yang jelas untuk membuat keputusan.
Namun, kita kena ingat piawaian Allah SWT yang tidak boleh kita langgar. Di akhirat, jawatan dan kedudukan kita di dunia ini tidak ada nilai pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan