FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membuat ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan pada guru yang mengambil tindakan terhadap anaknya yang ditangkap merokok di kawasan sekolah.
Bagaimanapun, Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang guru lelaki berusia 40 tahun di gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu pada 29 Jan lalu, 9.30 pagi.
Dia juga didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat sama.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mac ini untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chun Yuan dan Jo Anne Jameson.
Baru-baru ini tular video menunjukkan insiden guru dan pelajar bertengkar dalam bangunan sekolah.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas guru berkenaan menangkap pelajar itu merokok di tandas sekolah.
Satu lagi video tular memaparkan seorang lelaki dilihat menggasari guru terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan terhadap anaknya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan