"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tidak mengaku salah dituduh rogol anak kandung

Malaysiakini

Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun pada Nov lepas.

Lelaki berusia 47 tahun itu - yang mengalami cacat mata kiri akibat kemalangan - membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Surita Budin.

Tertuduh didakwa merogol remaja terbabit di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau, pada 12 Nov lepas.

Hari ini dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sehingga 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bapa kepada tiga anak itu dalam rayuannya berkata pada hari kejadian mabuk dan memaklumkan dia berstatus orang kurang upaya selepas kehilangan sebelah mata dalam kemalangan.

Dia juga mendakwa sedang menanggung bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul dan menendang anak perempuannya berumur 17 tahun hingga cedera pada 24 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata lelaki itu turut disiasat bagi kesalahan merogol selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah yang memaklumkan remaja itu memberitahu pernah dirogol bapanya pada 12 Nov tahun lepas.

- Bernama

Tiada ulasan: